KUANTAN – Sekumpulan sembilan lelaki ditahan dalam Ops Samseng Jalanan semalam kerana melakukan aksi ‘zig-zag’ dalam perjalanan menuju kedai makan ikan patin di Temerloh.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Assisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua mereka ditahan di Kilometer 216 hingga 193, Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur berikutan aduan pengguna lebuh raya itu.
“Sembilan lelaki terbabit didapati menunggang motosikal dengan melakukan lagak aksi bahaya seperti zig-zag, menundukkan badan dan mengangkat kaki ke belakang seperti ‘superman’.
“Kesemua mereka berusia 20 hingga 29 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati menunggang secara melulu dan berbahaya selepas menerima aduan aksi berbahaya oleh pengguna.
“Sebanyak 217 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi itu dan pihak polis turut menyita sembilan motosikal untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ops Samseng Jalanan itu dilakukan pasukan Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang dan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kuantan.
Menurut Wan Mohd Zahari, Ops Samseng Jalanan bermula 9 pagi dan berakhir pada 12 tengahari semalam disertai empat pegawai dan 27 anggota polis.
Kata beliau, pihaknya akan giat menjalankan operasi seperti itu secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette