KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menolak ratifikasi perjanjian Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan mendesak kerajaan menangguhkannya.
Pemangku Presiden DPNMM, Datuk Abdul Halim Husin berkata, jika ia diteruskan, para peniaga tempatan akan menghadapi kesukaran.
“Harus diingat, CPTPP ini memang akan menarik pelabur perniagaan dari luar negara. Jika diberikan ruang seluas-luasnya, macam mana perniagaan tempatan nak maju?
“Inilah kebimbangan yang disuarakan kepada kami. Dengan nisbah ketidaksaksamaan antara kaum dan wilayah yang masih tinggi memerlukan pelan tindakan serta hala tuju yang lebih terarah buat kaum Melayu di Semenanjung dan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, perkara itu terpaksa dilakukan demi memastikan jurang tersebut dapat dirapatkan dan tidak ada yang tercicir dalam arus pembangunan.
“Kami tidak menafikan peluang untuk meraih nikmat serta kelebihan sebagai warganegara Malaysia tetapi walaupun Malaysia bergantung kepada hasil perdagangan, kedaulatan negara dan hak warganegara mesti didahulukan.
“Jika CPTPP berkuatkuasa, maka sebarang usaha untuk merapatkan jurang tersebut bukan sahaja akan terlarang dan menjadi lebih sukar, bahkan tindakan-tindakan sedemikian boleh pula dicabar di tribunal antarabangsa oleh syarikat asing yang mahukan peluang serta keistimewaan yang sama dengan syarikat tempatan,” jelasnya lagi.
Turut hadir adalah ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Abdul Halim berkata, Sabah dan Sarawak telah menjadi sebahagian dari Keluarga Malaysia sejak sekian lama dan seharusnya sempadan politik dan wilayah yang menjadi penghalang pembagunan ekonomi harus diruntuhkan.
“DPMM sebenarnya sudah menjalin kerjasama dengan peniaga di Sabah dan bersedia untuk berkolaborasi dengan pertubuhan pernuagaan di Sabah dan Sarawak.
“Ini untuk meluaskan lagi dan berkongsi segal kemahiran dan kapasiti ahli serta memaksimumkan ruang dan peluang untuk mempertingkat tahap daya saing usahawan agar merentas wilayah,” katanya.
Pada September lalu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia sebagai salah satu rakan dagangan terbesar China memandang dasar dan agenda pembangunan negara tersebut penting dan akan memberi impak kepada Malaysia dan rakan serantau yang lain.
Pengumuman rasmi China untuk menyertai CPTPP akan memberikan impak pengaruh ekonomi yang kuat kepada perjanjian perdagangan tersebut. – MalaysiaGazette