Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (dua kanan) diiringi Timbalannya, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (kanan) melihat buku pelancaran pada Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN) 2.0 merupakan usaha kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan
rakyat selain mengutamakan sekuriti serta nutrisi makanan negara.

Ia juga merupakan salah satu daripada langkah mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara agar lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Melalui lima teras utama, DAN 2.0 dipacu dengan elemen-elemen penting yang mampu memberi nilai tambah sektor agromakanan agar berpotensi meningkatkan pendapatan peserta industri di sepanjang rantaian nilai.

Ketika melancarkan dasar tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DAN 2.0 telah digubal sebagai kesinambungan kepada Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) untuk meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan sekuriti makanan negara.

Katanya, usaha tersebut bakal dijayakan menerusi pemodenan dan pertanian pintar serta memperkukuh rantaian nilai agromakanan.

Ronald Kiandee bercakap pada Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OKTOBER 2021.

Jelas beliau, keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan.

“DAN 2.0 meletakkan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai “key game changer” bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan. Ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja untuk meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” katanya.

Selain itu, menurut Perdana Menteri, bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) akan menjadi nadi pembangunan sektor itu melalui kerjasama agensi penyelidikan awam dan swasta.

Beliau turut menyatakan, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) melalui kerangka dan dokumen pelan tindakan DAN 2.0.

Melalui DAN 2.0, MAFI akan terus memperkasa sektor agromakanan negara melalui pemodenan dan pertanian pintar, pengukuhan rantaian nilai, pembangunan bakat,
amalan pertanian mampan dan penyediaan ekosistem perniagaan yang kondusif.

Dengan pelbagai strategi dan pelan tindakan yang dirangka dalam DAN 2.0, sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK negara dijangka berkembang pada kadar 5 peratus setahun menjelang tahun 2030.

MAFI turut mensasarkan peningkatan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) bagi beras kepada 80 peratus , daging lembu (50 peratus), susu segar (100 peratus), buah-buahan (83 peratus), sayur-sayuran (79 peratus), sumber ikan (98 peratus) dalam tempoh pelaksanaan DAN 2.0.

Ronald Kiandee

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI komited menyediakan persekitaran yang kondusif melalui kemudahan kewangan, insurans pertanian, pendigitalan produk dan penyediaan akses pasaran dalam talian.

Katanya, melalui penerimagunaan teknologi yang lebih meluas, dijangkakan tahap kebergantungan negara kepada pekerja asing akan terus menurun.

Keadaan ini seterusnya, kata beliau, berupaya menarik lebih ramai penyertaan golongan belia untuk menceburi sektor ini.

“MAFI juga akan terus mengalakkan kolaborasi yang lebih baik melalui kerjasama dengan sektor swasta bagi meningkatkan pelaburan di sepanjang rantaian nilai khususnya melalui projek-projek yang berimpak tinggi,” ujarnya ketika berucap pada majlis sama.

Ronald memberitahu, beliau sendiri akan memantau pelaksanaan strategi dan pelan tindakan yang telah digariskan dalam DAN 2.0 pada peringklat ini melalui
jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Tambahnya, Jawatankuasa Khas itu akan dianggotai oleh pengurusan tertinggi MAFI serta ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah MAFI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast