Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kembali ‘panas’ selepas Speaker, Datuk Azhar Harun mengarahkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) keluar dewan selama 10 minit di sini hari ini.

Ia  gara-gara wakil rakyat DAP itu tidak berpuas hati dengan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim (BN) yang didakwanya menghina bahasa Tamil.

Azhar mengarahkan Rayer keluar dewan selepas wakil rakyat itu enggan duduk dan tidak mematuhi arahannya agar tidak mengganggu Azeez berbahas.

“Saya arah bentara bawa keluar Jelutong 10 minit,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum itu, Rayer bangun mencelah ketika Azeez berbahas kerana mendakwa wakil rakyat UMNO itu menghina bahasa Tamil.

Beliau berkata, tindakan Azeez berkongsi pengalamannya ‘bercakap’ dalam bahasa Tamil dengan gajah adalah perbuatan biadap, tidak masuk akal dan menghina bahasa Tamil.

“Kamu benarkan beliau hina bahasa Tamil. Ini bukan perkara remeh. Jangan benarkan hina bahasa Tamil.

“Ini sungguh tak logik. Ini kenyataan biadap dan kurang ajar,” katanya penuh marah

Bagaimanapun, Azhar berkata, tindakan Azeez itu tidak bermaksud menghina bahasa Tamil.

Beliau berpendapat Azezz hanya berkongsi pengalamannya dan tidak timbul isu menghina bahasa Tamil.

Sebelum itu, Azeez telah bercakap dalam bahasa Tamil di Dewan Rakyat apabila bercerita pengalamannya ‘bercakap’ dengan gajah ketika memujuk haiwan itu dalam proses pemindahan.

Azeez juga mempertahankan dirinya dengan berkata beliau tidak menghina bahasa Tamil sebaliknya hanya berkongsi pengalaman ‘bercakap’ dengan gajah menggunakan bahasa itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haiyoo… Ahli-ahli parlimen yang tidak boleh berbahas dalam bahasa Melayu didewan dengan betul itu lebih lagi menghina bahasa kebangsaan… Jelutong, LKS, LGE dan ramai lagi… Boleh kira menghina bahasa Melayu juga meh!!!

Comments are closed.