KUALA LUMPUR – Semua atlet negara digesa tampil ke depan dan terus bersuara mengenai isu gangguan seksual seperti isu jenaka lucah.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan akan mengambil tindakan segera dan tegas berhubung perkara itu sekiranya ia berlaku.
Malah jelas beliau, tindakan sedang diambil berkaitan isu atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
“Saya mesti mempertahankan kejadian yang berlaku terjadi ke atas Pandelela dan atlet lain yang terkesan kerana kita perlu membela anak-anak kita ini.
“Tambah lagi jika berlaku perkara yang lebih daripada gangguan seksual dalam kalangan atlet daripada pegawai atau jurulatih sendiri,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berhubung pendiriannya dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan isu gangguan seksual melibatkan atlet.
Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong di laman sosial Twitter miliknya sebelum ini mendedahkan pengalaman berdepan dengan jurulatih yang sering membuat lawak lucah terhadap rakan atlet.
Semalam Ahmad Faizal berkata, beliau mahu mengetahui mengapa insiden itu dibangkitkan kini selepas tujuh tahun berlalu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu menambah, apa yang disebut olehnya pada sidang akhbar pada Isnin dibuat secara luar konteks oleh media. – MalaysiaGazette