Sunday, November 3, 2024
Home Nasional Malaysia dihormati negara kuasa besar

Malaysia dihormati negara kuasa besar

Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai kelebihan untuk berdepan cabaran geopolitik yang mendatang hasil hubungannya dengan negara ASEAN dan melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ini kerana cabaran geopolitik terutama dengan kuasa besar adalah satu perkara yang kompleks dan tidak mudah untuk didepani.

“Bagaimanapun, kelebihan yang ada pada kita adalah hubungan kita dengan 10 negara ASEAN dan pendekatan pelbagai dengan FPDA, selain hubungan kita secara dua hala dengan negara tertentu.

“Ini meletakkan negara dalam satu posisi yang bukan hanya dapat mengimbangi kuasa besar di rantau ini tetapi pada masa sama kita juga cukup dihormati oleh negara kuasa besar,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH – Bukit Bendera) yang mahu mengetahui sekiranya keahlian Australia dan UK dalam kedua-dua FDPA dan perikatan ketenteraan antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS), mempengaruhi polisi pertahanan negara.
Sebelum itu, Wong bertanya sama ada FDPA masih relevan selepas 50 tahun penubuhannya, dan bagaimana perjanjian itu boleh membantu negara menghadapi cabaran ketenteraan masa depan.
Hishammuddin berkata, matlamat utama FDPA demi pertahankan keselamatan Malaysia dan Singapura, yang mana setiap negara anggota bertekad berunding mengenai langkah harus diambil sekiranya berlaku ancaman luar terhadap kedua-dua negara tesebut.
Sejak penubuhannya, jelas Hishammuddin, negara anggota telah menjalin kerjasama ketenteraan yang rapat, melalui eksesais konvensional dan meningkatkan keupayaan negara masing-masing.
“Melangkah ke hadapan, kesemua negara anggota FDPA telah menyuarakan komitmen bagi membangunkan tiga elemen – mengukuhkan hubungan negara anggota dalam komitmen strategik, meningkatkan kapasiti seiring keperluan keselamatan semasa, dan memperkukuh koordinasi antara angkatan tentera masing-masing.
“Kita berpendapat FPDA masih relevan dan masih mampu berperanan, dan boleh membantu negara menghadapi cabaran keselamatan di masa akan datang,” katanya lagi.

FPDA yang ditandangani pada 1971 oleh lima negara membabitkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK) bagi memastikan Singapura dan Malaysia mempunyai saluran bantuan sekiranya berlaku serangan bersenjata.

FPDA tidak mengikat negara anggota untuk campur tangan secara ketenteraan, sebaliknya menetapkan mereka segera berunding bagi memutuskan tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette