KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menggempur sebuah pusat hiburan dan sejumlah besar pelanggannya yang sedang berparti tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob berkata, premis tersebut telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 bagi ibu negara.
“Kompaun telah dikeluarkan ke atas pemilik premis iaitu sebanyak RM25,000 kerana gagal memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pelanggannya semasa berhibur di dalam premis itu,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Kompaun berjumlah RM 235,000 telah dikeluarkan kepada seramai 43 orang pengunjung yang berada di dalam pusat hiburan itu atas kesalahan perlanggaran SOP semasa berhibur.
Katanya, ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua pengunjung didapati negatif dadah.
Selain itu, polis merampas pelbagai jenis arak jenis Liquor sebanyak 431 botol bernilai RM220,500 ekoran kesalahan di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1967 serta rampasan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette