KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sekali lagi berdepan saman yang dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Difahamkan, saman kali kedua oleh bekas Perdana Menteri itu berkaitan buku tulisan Tommy bertajuk ‘Justice in the wilderness’ yang diterbitkan pada Januari lalu.
Saman tersebut difailkan melalui guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Tommy sebagai defendan pertama.
Selain Tommy, penerbit buku itu, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn. Bhd dinamakan sebagai defenden kedua.
Dalam tuntutannya, Najib berkata, defenden kedua telah menerbitkan beberapa perenggan yang bersifat fitnah dengan tajuk depannya, Altantuya.
Katanya, petikan-petikan fitnah itu bukan sahaja diterbitkan, malah terbitannya diulang dalam pelbagai laman sesawang, blog dan media.
“Walaupun tuduhan-tuduhan terhadap plaintif adalah berat namun defenda-defendan tidak membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan fakta-fakta berkenaan dengan plaintif atau memberi peluang kepada plaintif untuk memberikan komen terhadap pernyataan tersebut.
“Perenggan-perenggan itu sebenarnya membawa maksud saya terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sedangkan Mahkamah Persekutuan telah mensabitkan serta jatuh hukum terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.
“Tommy menulis buku tersebut dengan sengaja menyebabkan pembaca percaya bahawa plaintif bertanggungjawab dalam pembunuhan Altantuya serta konspirasi dengan mereka yang telah bersalah kes ini,” katanya.
Sebelum ini, Najib memfailkan saman terhadap Tommy berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.
Bekas perdana menteri itu memfailkan saman tersebut menerusi Tetuan Raj, Ong & Yudistra di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Oktober lepas dengan menamakan Thomas dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.
Mengenai saman terbaharu itu, Najib berkata, reputasinya terjejas dan tercalar selain beliau dimalukan yang menyebabkannya memohon satu perintah agar defendan memadamkan perkataan-perkataan yang berbaur fitnah dalam buku itu.
Najib memohon perintah injuksi terhadap Tommy dan penerbit daripada mengeluarkan pernyataan yang sama atau seakan-akan merujuk kepadanya.
Beliau juga memohon pihak-pihak itu memohon maaf dalam akhbar pilihan selama tiga hari selain akujanji daripada defendan untuk tidak menerbitkan tuduhan atau komen berbaur fitnah itu.
Turut dipohon ialah ganti rugi am, dan teruk yang akan ditaksirkan oleh mahkamah kelak. – MalaysiaGazette