KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan lebih ramai pengeksport meneroka Afrika berikutan peluang pasarannya yang semakin meningkat.
Antara sektor berpotensi yang telah dikenal pasti oleh MATRADE ialah komponen dan alat ganti automotif, bahan binaan, konsesi infrastruktur termasuk lebuh raya, pelabuhan, perumahan awam dan bangunan kerajaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pertanian dan industri halal.
Ia berkata, pertumbuhan dijangka kukuh di Afrika Timur, disokong oleh kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk sumber gas asli di Tanzania dan pengeluaran minyak di Uganda dan Kenya.
“Cabaran paling biasa dihadapi oleh ahli perniagaan ialah logistik,” kata Matrade dalam satu kenyataan hari ini.
Antara negara yang dikelilingi daratan yang dikenal pasti ialah Botswana, Zimbabwe, Zambia, Ethiopia, Uganda, Sudan Selatan, Republik Afrika Tengah, Chad, Niger, Mali, dan Burkina Faso.
“Syarikat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perubahan dalam peraturan dan dokumentasi negara-negara pengimport.
“Dari segi tarif, kadar Duti dan Kastam Nigeria berbeza daripada sifar peratus hingga 35 peratus dengan kadar purata duti pada 16.96 peratus, manakala cukai nilai tambah (VAT) dikenakan ke atas import pada kadar standard lima peratus. pada jumlah nilai kos, insurans dan pengangkutan (CIF),” kata MATRADE.
Sehubungan itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mesti mengambil kira kadar tarif ini apabila mereka membuat sebarang penetapan harga.
Ia memaklumkan, kerajaan Afrika juga melarang import barangan tertentu atas sebab keselamatan serta untuk melindungi industri tempatan.
Pejabat MATRADE di Afrika akan terus menyediakan senarai barang terlarang dan adalah penting kepada komuniti perniagaan untuk sentiasa dikemas kini, katanya.
Cabaran lain adalah untuk mendapatkan kelulusan bagi pematuhan dan pensijilan pengimport, yang mana memerlukan pelaburan dari segi kewangan dan masa untuk pengeksport.
Namun begitu, populasi dan pasaran Afrika yang berkembang pesat menawarkan peluang yang besar untuk perniagaan Malaysia, kata MATRADE, sambil menambah bahawa pendapatan meningkat di seluruh benua yang menjana peluang perniagaan baharu dalam pasaran pengguna.
Perbelanjaan tahunan pengguna dan perniagaan di Afrika dijangka mencecah US$6.66 trilion (US$1=RM4.14) menjelang 2030, meningkat daripada US$4 trilion pada 2015.
Bilangan pengguna internet di Afrika juga meningkat lebih daripada 260 peratus sejak 2010 dan jumlah perbelanjaan pengguna dijangka melebihi US$5 trilion menjelang 2030, menurut penyelidikan yang disusun oleh Standard Bank of South Africa Limited.
Trend ini memacu pasaran yang semakin berkembang dalam pelbagai sektor yang mana rakyat Afrika mempunyai keperluan yang masih belum dipenuhi, termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Melalui semangat kerjasama Selatan-Selatan, Malaysia memacu komitmennya untuk mengukuhkan dan meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di seluruh Afrika,” kata MATRADE.
Di sebalik cabaran yang dihadapi semasa pandemik, perdagangan antara Malaysia dan seluruh Afrika kekal dengan nilai eksport berjumlah US$4.62 bilion pada 2019, dan meningkat kepada AS$4.69 bilion pada 2020.
Bagaimanapun, import dari Afrika menurun sedikit kepada US$2.78 bilion pada 2020 daripada US$3.33 bilion pada 2019. – MalaysiaGazette