Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media mengenai pendedahan senarai 101 projek rundingan terus oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OGOS 2020.
Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan memutuskan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam masa terdekat.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata perkara itu masih dalam proses perbincangan.

“Sedang dibincang, akan diputuskan sehari dua lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis pembentangan Bajet PH 2022 di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kedudukan bekas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dalam PRN itu juga masih dibincangkan.

Pada 5 Okt lepas, keempat-empat ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyaksikan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka dan PRN terpaksa diadakan pada 20 Nov ini.

Empat ADUN terbabit ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Sebelum ini, Idris memaklumkan beliau serta tiga lagi rakannya menyerahkan kepada pucuk pimpinan PH untuk memutuskan kedudukan mereka dalam PRN Melaka.

DAP telah menolak Norhizam Hassan sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR, pula menyeru jentera pakatan itu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sempena PRN Melaka.

“Walaupun pelaksanaan PRN Melaka dianggap berisiko, SOP yang ketat perlu dilaksanakan demi keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya. – Bernama