Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK) yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Program menjadikan masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga akan diperluaskan ke seluruh negara oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beberapa negeri telah menyatakan kesediaan mereka untuk membuka beberapa masjid sebagai pusat transit tersebut.

Menurut beliau, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Setakat ini Perlis sudah mencadangkan dua masjid, begitu juga Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah menyatakan kesediaan mereka dan perbincangan sedang dijalankan manakala di Selangor program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 12 masjid terpilih menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang ingin mengetahui sama ada program masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga dilaksanakan di negeri lain selain Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, inisiatif masjid sebagai pusat transit itu adalah di bawah Pelan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan 2020- 2024.

“Ia dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan rohaniah (spiritual).

“Program berkonsepkan perlindungan segera kepada komuniti dan masyarakat setempat dalam kalangan ahli kariah masjid ini diberi kepada mangsa keganasan rumah tangga sama ada lelaki atau wanita tanpa mengira agama.

“Di Wilayah Persekutuan, mangsa boleh mendapatkan perlindungan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Di pusat transit, mangsa akan diberi kaunseling dan bimbingan rohaniah oleh pegawai masjid serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlatih. Mangsa akan tinggal di asrama, diberi makan minum sepanjang berada di situ, selain disediakan set persalinan pakaian, selimut, tuala dan peralatan kebersihan diri.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Nor Azrina mengenai penubuhan pusat sosial setempat, katanya satu akan dibuka di Kelantan manakala dua lagi akan dilaksanakan secara bergerak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast