Ribut petir yang melanda bandar Catania di Sicily mengakibatkan banjir besar - Foto BBC News

CATANIA – Banjir yang berpunca daripada ribut petir yang melanda bandar Catania di Sicily, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang.

Bencana yang memasuki hari ketiga di selatan Itali telah menyebabkan jalan raya tenggelam sepenuhnya.

Agensi meteorologi meramalkan timur Sicily sedang dilanda taufan Mediterranean yang jarang berlaku, dikenali sebagai Medicane.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Awam Itali mengeluarkan amaran cuaca paling teruk untuk kawasan Sicily dan Calabria.

Ia memberi amaran tentang potensi risiko kepada nyawa dan kerosakan harta benda akibat hujan lebat, ribut petir dan angin ribut di kawasan tersebut.

Para saintis berkata, perubahan iklim yang disebabkan oleh aktiviti manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem lebih kerap berlaku

Datuk bandar Catania, Salvo Pogliese mengarahkan penutupan semua perniagaan di Catania kecuali perkhidmatan penting sehingga tengah malam pada hari Selasa.

‘Saya menggesa seluruh penduduk untuk tidak meninggalkan rumah kecuali atas sebab kecemasan kerana jalan raya dilimpahi air,’ katanya menerusi Facebook.

Gangguan elektrik yang berlaku menyebabkan kediaman dan perniagaan terputus bekalan manakala sekolah di bandar dan pekan berdekatan ditutup

‘Keadaan amat kritikal dan ia nampaknya semakin buruk,’ kata jurucakap perkhidmatan bomb.

Laman web cuaca Itali, iLMeteo berkata ribut dijangka bertambah buruk secara beransur-ansur sepanjang minggu, membawa lebih banyak hujan lebat dan banjir pada hari Khamis dan Jumaat. – Reuters