Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) diiringi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kiri) dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mengibarkan bendera BN pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada istilah favoritism ketika memilih calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kesemua calon yang bakal dibariskan dalam PRN itu merupakan calon yang telah dipilih oleh parti dan bukan pilihan individu.

“Jangan fikir bahawa ada favoritism yang akan dilakukan dalam pemilihan calon-calon, tidak ada calon pilihan Datuk Seri Rauf, tidak ada calon pilihan Datuk Seri Sulaiman, tidak juga pilihan Tok Mat Hasan, tidak juga pilihan Zahid Hamidi atau Ismail Sabri.

“Ia nya adalah calon BN yang wajib kita menangkan dalam PRN Melaka kerana kita harus melihat kebolehmenangan sebagai faktor utama, latar belakang seseorang itu bukan semestinya orang lain tidak baik kerana tidak akan ada yang baharu kalau tidak ada yang lama. Sebab itu yang baru mesti menghormati yang lama, yang lama mesti menyayangi yang baharu.

“Jika ini dapat kita lakukan dan terjemahkan dengan sebaik-baiknya, saya amat yakin perubahan sebagai satu gelombang yang baharu dalam politik tanah air akan bermula di negeri Melaka kerana segala-galanya bermula di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) malam ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, menerusi PRN kali ini, BN bukan sahaja mengambil pendekatan dengan mengetengahkan calon muka baharu tetapi turut membawa manifesto yang dapat memenangi hati rakyat Melaka.

“Biar manifesto itu pendek tetapi dekat di hati rakyat dan mempunyai nilai kerana manifesto ini akan dibawa oleh calon-calon sebagai hidangan kepada pengundi di tempat mereka.

“Calon-calon ini juga harus ada sifat wali (winnable, acceptable, likable) dan mempunyai identiti yang boleh diterima oleh semua agama, kaum dan keturunan di negeri Melaka.

“Biar pun lambang BN terus menjadi pilihan namun faktor calon juga adalah penentu kepada kemenangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast