GEORGE TOWN – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu menjadi platform kepada kerajaan untuk memastikan rakyat di negara ini mampu bertahan selepas dikejutkan dengan situasi pandemik Covid-19.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, RMK-12 juga harus menjadi saluran kepada kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dari aspek ekonomi, kesihatan serta keselamatan nyawa mereka.
Jelas beliau, pandemik Covid-19 bukan saja menyebabkan ekonomi beku seketika malah ia juga mengakibatkan rakyat hilang sumber pendapatan selain ada dalam kalangan mereka berdepan masalah kesihatan mental.
“Jadi kalau kita lihat dari aspek ini, kerajaan perlu ambik inisiatif khusus dalam memastikan kesejahteraan rakyat seiring dengan aktiviti pembangunan ekonomi.
“Kerajaan perlu mengambil kira elemen-elemen penting kesejahteraan rakyat sebagai contohnya untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi pengkhususan diberikan kepada sektor perkhidmatan dan pertanian kerana dua sektor ini mengalami pengucupan sangat besar di mana rakyat daripada golongan M40 kini berstatus B40,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tambah Dr. Abdul Rais, menerusi RMK ini juga kerjaaan perlu memberi perhatian khusus pembangunan di Sabah, Sarawak serta ekonomi bumiputera.
“Pembentangan bajet esok perlu mencakupi model menyeluruh dan lestari dari segi sosial, ekonomi serta alam sekitar termasuk pembangunan teknologi hijau.
“Pembangunan teknologi hijau bagi menjaga alam sekitar perlu kerana persekitaran akan memainkan peranan penting kepada kesihatan rakyat malah kerajaan perlu mengeluarkan kos lebih tinggi sekiranya kesihatan rakyat terjejas akibat persekitaran yang tidak sihat.
“Sehubungan itu, menerusi RMK-12 ini komitmen kerajaan adalah jelas di mana kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama bertepatan dengan tema untuk mewujudkan keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan,” jelas beliau.
Mengulas lanjut Dr. Abdul Rais menegaskan, dasar implikasi yang akan dimulakan kerajaan menerusi RMK-12 itu menjadi tonggak buat rakyat untuk keluar daripada dilema Covid-19. – MalaysiaGazette