Kabilan, 22 dan Mohan Raj, 31 tahun dua suspek insiden cubaan samun yang masih bebas sedang diburu polis dalam kejadian di Tengku Kelana Klang.Gambar Ihsan: Polis IPD Klang Selatan.

KLANG – Seorang jurujual wanita melalui detik mencemaskan apabila nyaris menjadi mangsa ragut ketika sedang membersihkan kawasan belakang kedainya.

Bagaimanapun, penjenayah yang memandu Proton Wira terpaksa berputih mata kerana gagal melunaskan niat jahatnya mahu meragut rantai emas dari leher wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata kejadian dikesan polis selepas satu klip vidieo yang memaparkan insiden mencemaskan itu tular di media sosial pada hari ini.

Katanya, satu laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan insiden dalm video berdurasi dua minit 30 saat itu yang memaparkan suspek seorang lelaki cuba meragut rantai leher milik mangsa di belakang kedai.

“Kejadian berlaku semalam pada jam lebih kurang 9.40 pagi, semasa mangsa seorang jurujual berbangsa India, berumur 23 tahun, sedang membersihkan kawasan belakang kedainya di Jalan Tengku Kelana, Klang.

“Tiba-tiba mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki dan cuba untuk meragut rantai emas milik mangsa tetapi tidak berjaya.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna maroon, bersama tiga lagi lelaki yang tidak dikenali yang berada di dalam kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau pada jam sekitar 2 hingga 5 petang hari ini, Polis Klang Selatan telah berjaya menangkap dua daripada empat suspek yang disyaki terlibat dalam insiden cubaan samun itu.

Ujarnya, polis juga merampas kereta yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Polis kini sedang giat memburu dua lagi suspek yang masih bebas di luar dikenali dengan nama ‘Paiyen’ atau nama sebenar N. Mohan Raj, 31 dan ‘Kabilan’ atau nama sebenar J. Kabilan, 22 tahun.

“Kedua-dua suspek beralamat di Taman Dato Hormat dan Taman Telok Panglima Garang, Banting.

“Kes sedang disiasat di bawah seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu Cubaan Samun.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau tampil segera ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu menyalurkan maklumat kepada polis,” tegas beliau.- MalaysiaGazette