Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.
KUALA LUMPUR – Cadangan-cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) dalam Bajet 2022 untuk memperkukuh Agenda Perumahan untuk rakyat diberi pertimbangan oleh kerajaan.
Antara cadangan itu ialah meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata,
ini akan membolehkan pembangunan rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat dilakukan.
“Selain itu, kerajaan turut menyantuni kumpulan rentan yang tiada bukti pendapatan tetap seperti pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang tiada pendapatan tetap untuk memiliki kediaman idaman masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM2 bilion disediakan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada golongan ini membeli rumah.
“Satu lagi berita baik dalam merancakkan semula industri dan landskap perumahan, Kerajaan turut mempertimbang cadangan KPKT agar tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas,” ujarnya
Menurut Reezal Merican, beliau bersyukur kerana hasrat KPKT untuk melebarkan lagi aspirasi Malaysia Berdaya Huni kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) juga diberi pertimbangan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada.
Kata beliau, kementeriannya akan meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat. – Malaysiagazette