Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Sha'ari Ngadiman.

SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini mengesahkan kematian seorang ketua jururawat di negeri itu adalah disebabkan COVID-19 dan bukan kesan sampingan suntikan vaksin COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, semakan mendapati ketua jururawat berkenaan adalah seorang pesakit kanser yang dalam tempoh cuti sakit selama dua tahun.

“Beliau telah ditawarkan untuk mengambil vaksin COVID-19 pada 17 Februari lepas namun menolak dengan alasan risau dengan kesan sampingan vaksin tersebut. Bagaimanapun, beliau kemudiannya mendaftar dalam MySejahtera serta memberi kebenaran secara sukarela dalam borang kebenaran mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, ketua jururawat itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 23 Julai lepas dan mengalami gejala demam 12 hari selepas mengambil vaksin namun tidak mendapatkan rawatan untuk gejala itu.

“Beliau mengalami kesukaran bernafas di rumah kediaman beliau dan dibawa oleh ambulan ke hospital pada 7 Ogos iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin.

“Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek COVID-19 kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif,” katanya.

Katanya, pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan namun keadaannya semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos lepas.

Beliau berkata, saringan kontak rapat mendapati terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif COVID-19.

“Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh COVID-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi COVID-19,” katanya.

Pada 22 Oktober lepas, tular di media sosial satu video berkenaan dakwaan seorang ketua jururawat di Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin COVID-19. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast