Datuk Seri Mahadzir Khalid. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Peruntukan RM10.53 billion yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam Belanjawan 2022 adalah lebih tinggi sebanyak RM345 juta atau 3.39 peratus berbanding peruntukan sama dalam belanjawan tahun lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid menyifatkan ia sebagai peruntukan besar terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang masih lagi dalam peringkat pemulihan pandemik Covid-19.

“Menerusi peruntukan ini, lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bukan sahaja dari segi infrastruktur bahkan ekonomi serta modal insan.

“Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 berjumlah RM331.2 bilion di Dewan Rakyat pada petang tadi.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM233.5 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM75.6 bilion pula untuk perbelanjaan pembangunan.

Mahadzir berkata, peruntukan KPLB yang meliputi RM3.52 billion peruntukan mengurus dan RM7.01 billion peruntukan untuk pembangunan dijangka memberi manfaat kepada 7.6 juta penduduk luar bandar.

“Di bawah peruntukan pembangunan, sejumlah RM2.43 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti bekalan elektrik luar bandar, bekalan air luar bandar, jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa.

“Jumlah ini adalah RM112.1 juta atau 4.81 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan peruntukan pada 2021.

“Dalam usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar, sebanyak RM15.3 juta telah diperuntukkan untuk aktiviti keusahawanan luar bandar.

“Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 4.3 juta atau 39 peratus daripada peruntukan 2021,” katanya.

Menurutnya, KPLB juga menyambut baik pemerkasaan agenda pembangunan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan, yang turut memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar termasuk golongan belia dan wanita.

“Untuk tahun 2022, sebanyak RM2.01 bilion telah diperuntukkan untuk Program Penajaan Pendidikan MARA.

“Selaras dengan konsep kebersamaan Keluarga Malaysia, pembangunan Orang Asli tidak dipinggirkan di mana RM274 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli.

“Ini meliputi program pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan untuk memperkasa komuniti Orang Asli di Malaysia. Kadar wang saku murid Orang Asli di sekolah menengah juga dinaikkan daripada RM2 kepada RM4 sehari,” katanya.

Tambah beliau, KPLB juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM699 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan RM495 juta bagi Felcra yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil di bawah kedua-dua agensi berkenaan.

“Bagi menyokong usaha untuk menggalakkan pendidikan awal kanak-kanak terutamanya di luar bandar, Program Geran Per Kapita dan Bantuan Makanan Tambahan masih lagi diteruskan pada tahun 2022 bagi dengan jumlah peruntukan sebanyak RM182.9 juta.

“KPLB akan memastikan supaya peruntukan yang disediakan ini dapat dimanfaatkan agar nikmat pembangunan dapat dikongsi bersama Keluarga Malaysia dalam menggerakkan usaha pemulihan negara ke arah luar bandar sejahtera agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu,” katanya. – MalaysiaGazette