Tengku Zafrul akan membentangkan Bajet 2022 di Parlimen petang ini.

BERHUBUNG pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen petang ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempunyai beberapa pendirian yang perlu diambil kira oleh kerajaan.

Antara pendirian parti itu ialah penetapan harga siling bagi tarif pembekalan perkhidmatan internet (ISP) kepada pengguna serta pengurangan cukai perkhidmatan kepada syarikat pembekalan perkhidmatan Internet (ISP) sebanyak 15 hingga 25 peratus oleh kerajaan bagi signal 4G.

Pengurangan duti import barangan peranti dan gadget (telefon pintar, tablet dan lain-lain) sebanyak 30 peratus bagi membolehkan rakyat memiliki peranti serta gadget dengan lebih meluas serta mampu milik.

Menambah baik dasar Teknologi Hijau Negara 2009 dengan memperkenalkan  dasar khusus bagi kenderaan elektrik (EV) dari sudut menyediakan infrastruktur, undang-undang, tarif cukai dan duti impot yang munasabah, SOP serta pengedaran EV dengan harga mampu milik bagi merancakkan industri EV nasional.

Ini supaya negara tidak ketinggalan dengan perubahan skala besar dunia yang sedang beralih kepada kenderaan yang menggunakan bahan api fosil kepada tenaga yang boleh diperbaharui dan terbukti lebih bersih serta mampan untuk alam sekitar.

Memansuhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) enam peratus dan pengenalan semula GST pada kadar tiga peratus dengan penetapan kategori yang perlu dicukai (Barangan keperluan dan makananan asas adalah pada kadar kosong peratus).

Memperkasa serta menambahbaik kemahiran masyarakat Bumiputera dari kemahiran berimpak rendah kepada kemahiran berimpak tinggi mengikut kehendak pasaran kerja.

Secara tidak langsung ini akan menaik taraf kehidupan dan pendapatan masyarakat Bumiputera itu sendiri dengan membekalkan kursus serta pembelajaran dan kemahiran terkini yang mampu menambah nilai serta mewujudkan kesinambungan hibrid kemahiran utama mereka.

Pengstrukturan semula gaji minimum nasional bagi membolehkan rakyat mempunyai simpanan minimum RM100 sebulan.

Pelepasan cukai terhadap yuran penghantaran anak-anak berumur enam tahun dan ke bawah ke Taman Asuhan Kanak-kanak / tadika berdaftar dinaikkan kepada RM6,000 setahun.

Memperkenalkan Akta Sabotaj Ekonomi 2022. Ianya perlu dikuatkuasakan bagi membendung serta mengurangkan gejala rasuah dan secara tidak langsung mengurangkan ketirisan perbelanjaan kerajaan.

Memperkenalkan geran bantuan (BumiGigFund) bagi ekonomi gig Bumiputera yang berimpak tinggi bagi membolehkan ekonomi gig Bumiputera berdaya maju serta mampu berdaya tahan.

Memperkukuhkan serta menaik taraf kualiti produk serta perkhidmatan Bumiputera yang lebih baik mengikut kualiti dan piawaian antarabangsa bagi aktiviti ekspot boleh dilakukan dengan lebih meluas dengan memastikan produk serta perkhidmatan Bumiputera kekal berdaya saing serta berdaya tahan dengan harga pasaran yang kompetitif.

Membuka peluang kepada Bumiputera bagi mengusahakan aktiviti pertanian di atas tanah milik kerajaan Persekutuan yang terbiar dengan menawarkan harga pajakan munasabah. Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara.

Memantau serta memastikan semua projek kerajaan yang telah diluluskan sebelum ini (HSR, ECRL dan lain-lain) disiapkan mengikut garis masa ditetapkan tanpa penambahan bajet yang tidak perlu. – MalaysiaGazette

Ashraf Rosli

Penulis, Ashraf Rosli adalah Ketua Penerangan Putra Malaysia