Bantuan Kehilangan Pendapatan BKP RM500 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Agensi dan pihak yang terlibat diminta mempermudahkan dan mempercepatkan sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga bersetuju memperuntukan dana permulaan sebanyak RM5 juta menerusi Kementerian Kewangan kepada Yayasan Kebajikan Mahasiswa Keluarga Malaysia (YKM) sebagai tanda sokongan bagi memastikan kelangsungan operasi dan matlamat penubuhannya tercapai.

“Badan ini akan berkolaborasi dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika merasmikan pelancaran YKM yang diadakan secara maya di laman Facebook Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Penubuhan YKM di bawah Akta 258 ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Yayasan itu dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan berstatus badan rasmi peringkat nasional.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, YKM merupakan salah satu daripada 11 Agenda Memperkasa Mahasiswa yang telah diusulkan pada 30 Jun tahun lalu semasa perjumpaan khas perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Ujar beliau, secara dasarnya, penubuhan YKM seiring dengan fokus strategik KPT yang keenam iaitu Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin.

Selain itu, ia bakal menjadi medium pengurusan dan penyelarasan aktiviti penjanaan serta penyaluran dana bantuan kebajikan mahasiswa di peringkat nasional.

Ia juga melengkapi aspirasi untuk memantapkan tadbir urus dan menambah baik kecekapan urusan berkaitan kebajikan dan kesejahteraan pelajar merentas IPT.

Justeru, beliau  berharap agar penubuhan YKM dapat membantu meringankan beban para pelajar khususnya yang kurang berkemampuan.

Noraini secara peribadi beriltizam agar inisiatif kebajikan pelajar ini dapat diperkasa dan diperluaskan horizonnya dari semasa ke semasa dengan pengukuhan sumber dana demi memastikan kelestarian pelaksanaannya nanti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast