Anna Jenkins

GEORGE TOWN –  Inkues membabitkan kematian Anna Jenkins, wanita warga Australia yang hilang di Pulau Pinang empat tahun lalu akan dilakukan sebaik pihak polis menerima tarikh dari Mahkamah Koroner.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sudah menerima kebenaran untuk melakukan inkues itu daripada Pengarah Pendakwaan Negeri pada 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun, jelas beliau, tarikh prosiding inkues berkenaan masih belum ditetapkan Mahkamah Koroner.

Mohd Shuhaily (tengah) pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Laporan bedah siasat, kimia serta pergigian mangsa diperoleh pada awal Ogos lalu sebelum kertas siasatan yang lengkap dimajukan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri pada 23 Ogos lalu.

“Arahan lanjut daripada kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) itu adalah untuk memohon prosiding inkues dan ia telah dilakukan.

“Kita kini menunggu tarikh daripada Mahkamah Koroner berhubung prosiding inkues tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pualu Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak Kedutaan Australia berhubung kes tersebut.

Kata beliau, pihak polis memberikan komitmen sepenuhnya ketika melakukan siasatan berhubung kes kehilangan serta penemuan tulang milik mangsa.

Jelas beliau, pasukan Forensik Bukit Aman dengan bantuan Forensik Hospital Pulau Pinang serta Unit Anjing Pengesan (K9) telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di tempat kejadian selain 15 percakapan saksi telah dirakam membabitkan kehilangan mangsa.

“Namun, tiada maklumat yang positif diperoleh berkaitan kes terbabit malah hasil bedah siasat ke atas semua tulang mangsa juga tidak menemui sebarang kesan berunsur jenayah.

“Pihak kedutaan serta pihak berkuasa Australia turut berada ketika siasatan dilakukan di lokasi penemuan tulang di Batu Gantung pada Jun tahun lalu.

“Setakat siasatan ketika itu, pihak keluarga menyatakan mereka berpuas hati dengan siasatan kita apabila diberitahu tiada unsur jenayah membabitkan kematian wanita warga emas itu,” jelas beliau.

Tambah Mohd Shuhaily, mayat wanita itu akan diserahkan selepas prosiding inkues selesai sekiranya keluarga mangsa menuntutnya.

Terdahulu media antarabangsa melaporkan, seorang Ahli Parlimen Australia menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjalankan penyiasatan lebih serius berhubung kematian wanita warga Australia itu.

Media tempatan melaporkan pada 13 Disember 2017, Anna Jenkins hilang selepas keluar dari bilik hotelnya.

Selepas tiga tahun, tulang dipercayai milik wanita itu ditemui di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di sini, pada 24 Jun.

Dua bulan kemudian, pihak polis mengesahkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemui itu milik Anna Jenkins. – MalaysiaGazette