Dr. Abdul Rais Abdul Latiff

GEORGE TOWN – Memandangkan negara mencapai status menua pada tahun 2030, kerajaan sepatutnya memberi penekanan khusus dalam menyediakan golongan berkenaan menjelang hari tua.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, perhatian khusus bagi menuju negara menua perlu diberikan berbanding bantuan wang kepada golongan warga emas secara one-off mahupun menerusi agensi kerajaan ketika ini.

“Kita akan mencapai negara menua sebelum negara maju, jadi kerajaan perlu menyediakan golongan tersebut untuk berdikari dan aktif ketika itu.

“Sehubungan itu, program khusus perlu diberikan kepada mereka agar golongan warga emas tidak mengharapkan generasi muda selain mampu berdaya saing sejajar Malaysia menuju negara maju.

“Perlu ada ruang dan peluang buat golongan tersebut menjalani aktiviti kehidupan mereka dengan aktif termasuk aspek kesihatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau menmyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kesimpulan bajet 2020 yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz petang tadi.

Tambah Dr. Abdul Rais, walaupun kerajaan sudah menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) namun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 aspek buat golongan warga emas masih perlu diberi perhatian khusus.

“Ini kerana ia akan menunjukkan kerajaan mengambil kira komponen negara menua yang mungkin akan menjadi isu hangat nanti,” ujar beliau.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan kerajaan memperuntukkan bantuan sebanyak RM635 juta khusus untuk warga emas yang memerlukan sokongan berterusan serta akses kepada bantuan sewajarnya.

Kata beliau, pemberian tersebut diberikan sebagai sebahagian langkah mempergiatkan program pembangunan sosioekonomi dan memelihara kebajikan komuniti tumpuan, terutamanya melibatkan warga emas.

“Menjelang 2030, Malaysia bakal dikategorikan sebagai negara menua.

“Bagi memastikan setiap warga emas yang memerlukan mendapat sokongan berterusan, sebanyak RM635 juta diberikan khusus untuk bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas,” kata Tengku Zafrul. – MalaysiaGazette