Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.6 bilion dalam Bajet 2022 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa.

Sehubungan itu, peruntukan tambahan RM200 juta juga disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri.

“Dalam RMK-12, Kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (atau TVET) sebagai salah satu pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri kita dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette