KUALA LUMPUR – Tiada sesuatu yang mengejutkan atau teruja dengan pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz petang semalam.
Malah, Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menganggap pembentangan bajet itu seperti biasa hanya sedap didengar dari segi kata-kata sahaja.
“Pada pendapat saya, macam roti dengan mentega sahaja. Nama program bertukar dan sekarang menjadi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pula.
“Keseluruhan bajet untuk rakyat ibarat kata kais pagi makan pagi. Pemberian sana sini hanya dinaikkan sedikit.
“Yang paling saya kecewa ialah Agenda Ekonomi Bumiputera bagi tujuan merapatkan jurang ekonomi antara kaum,” katanya mengulas mengenai Bajet 2022, hari ini.
Beliau berkata, apakah itu sahaja saluran agenda untuk rapatkan jurang ekonomi antara kaum? manakala Menteri Kewangan menyebut mengenai hal itu sekitar lebih satu minit sahaja.
Kata Ibrahim, setiap kali pembentangan bajet dihurai kedudukan ekonomi Bumiputera dalam setiap sektor, perlu dinyatakan program afirmatif dan kesungguhan kerajaan untuk mengangkat ekonomi kaum itu.
“Sepatutnya peruntukan untuk pelbagai program ini setidak-tidaknya lebih RM100 bilion bukan RM11 bilion.
“Dengan peruntukan yang kecil, bagaimana kerajaan hendak meningkatkan pemilikan harta seperti lot kedai di bandar, di gedung besar dan sebagainya.
“Contohnya, sektor perkilangan dan pembuatan kaum Bumiputera sentiasa ketinggalan. Mana hak keistinewaan orang Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan? Saya sangat kecewa,” katanya.
Katanya, Putra menyokong dasar membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum untuk golongan B40 dan M40 kerana itulah roti dan mentega rakyat miskin.
Namun, bagaimana pula dengan pembahagian kek ekonomi yang adil antara kaum?
“Kalau digembar gemburkan dasar kesamarataan antara kaum, maka semua sektor ekonomi mesti adil untuk semua kaum, di mana Bumiputra yang berjumlah hampir 70 peratus rakyat Malaysia kini menguasai kek ekonomi sebenarnya kurang dari 20 peratus.
“Begitu juga kepentingan dalam GLC tidak boleh dikira hak kepentingan Bumiputra. Ini hak kerajaan dan sudah banyak aset GLC telah dijual.
“Malang sungguh Malaysia yang kaya raya dengan minyak dan gas, pelbagai logam, kelapa sawit, getah dan sebagainya dengan jumlah rakyat hanya 36 juta, tetapi negara sudah berhutang lebih dari RM1.3 trilion,” ujarnya.
Beliau tidak menolak, puncanya disebabkan aktiviti rasuah, ketirisan, pembaziran dan penipuan yang berlaku secara berleluasa.
Kata Ibrahim, jika urus tadbir kerajaan dilakukan dengan telus dan bersih, pemimpin beramanah dan pelaksanaan yang berkesan, bukan sahaja negara tidak berhutang, malah dalam bajet akan ada pengumuman pendidikan percuma untuk semua kaum sampai ke universiti, perubatan percuma berkualiti dan rumah percuma bagi golongan B40 untuk semua kaum.
“Tetapi, ini tidak berlaku. Kos pembelian vaksin dan program imuniti kelompok termasuk kos MySejahtera sahaja mencecah RM70 juta. Ini perlu dipersoalkan.
“Namun, bila dengar ada sedikit tambahan untuk orang miskin dan Orang Kelainan Upaya (OKU), anak yatim, maka semua wakil-wakil rakyat bertepuk meja,” katanya.
Beliau juga turut mempersoalkan kenapa cukai judi tidak naik walaupun kerajaan secara ghairah meluluskan cabutan khas sampai 22 kali.
Katanya, cukai arak juga sepatutnya dinaikkan dua kali ganda, termasuk cukai pusat hiburan.
“Cukai ini patut dinaikkan dan sebahagiannya diwujudkan tabung pendidikan dan biasiswa pelajar bukan Islam, manakala biasiswa JPA hanya untuk kaum Bumiputera saperti yang dijamin dalam Kontrak Sosial,” ujar beliau. – MalaysiaGazette