Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (empat kiri) bergambar bersama penerima anugerah Perdana Belia 2021 pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri minta kepimpinan belia menyediakan pelapis berwibawa dan berkaliber untuk diketengahkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peluang itu selaras dengan pindaan Perlembagaan (Perkara 119) pada 2019 bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan dari 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Kata beliau, sebelum ini kerajaan telah meminda Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang dikenali sebagai Akta 668 dengan menurunkan julat usia belia daripada 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun.

“Bagi menunjukkan keyakinan kerajaan dan kemampuan anak muda dalam menentukan kepimpinan negara di masa akan datang, bukan saja undi pengundi 18 kita pinda, dalam pindaan itu juga melibatkan umur calon PRU yang bermula 18 tahun ke atas.

“Sebab itu, kerajaan hari ini mengambil pendekatan bekerja bersama rakyat, lantaran peranan penting yang dimiliki belia dalam menentukan kejayaan setiap agenda pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan 2021 di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Menurut Ismail Sabri, sebelum ini kerajaan berdepan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak yang menetapkan pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun bermula 1 Januari 2022.

Sedangkan, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan persediaan itu hanya boleh dilaksanakan menjelang September 2022 dan mahu kerajaan membuat rayuan bagi menangguhkan keputusan berkenaan.

“Apabila mahkamah membuat keputusan itu, kerajaan boleh merayu, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak muda, Kabinet telah memutuskan kita tidak akan merayu keputusan.

“Bermakna keputusan mahkamah itu kekal dan tarikh akhir adalah 31 Disember ini serta 1 Januari 2022 bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, keputusan itu bakal menyaksikan peningkatan bilangan pengundi muda berumur 30 tahun ke bawah kepada kira-kira 3.9 juta orang hingga 31 Disember ini.

Dari jumlah itu, katanya, yang berumur 18 hingga 20 tahun dianggarkan seramai 1.3 juta dan dua pindaan besar itu (Perkara 119 dan Akta 668) akan menjadi penanda aras baru dalam kepimpinan negara serta transisi kepimpinan warga belia.

Mengenai sambutan Hari Belia Negara bertemakan “Dekad Ini, Dekad Anda”, beliau berkata, acara itu merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan, komitmen, kecemerlangan dan daya usaha seluruh warga belia.

Ujar beliau, mereka telah membentuk hampir 68 peratus populasi tenaga kerja negara dan mewakili hampir 47 peratus daripada keseluruhan populasi Keluarga Malaysia.

Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kerajaan menyedari peningkatan angka penglibatan warga belia dalam industri pendigitalan dan perkhidmatan menerusi ekonomi-gig.

Menurutnya, sumber pendapatan dipelbagaikan menerusi perkhidmatan e-hailing dan p-hailing juga semakin menarik minat warga belia Keluarga Malaysia menceburi sektor itu.

“Secara langsung, langkah ini telah membantu mengurangkan angka pengangguran berikutan pandemik dan seiring itu, kerajaan menerusi KBS telah memperkenalkan Skim Perantisan Nasional bagi menangani isu pengangguran.

“Sehingga kini, sekitar 7,000 daripada lebih 11,000 belia yang menyertainya telah mendapat pekerjaan dan kerajaan akan terus merancakkan penyediaan infrastruktur, perkhidmatan digital dan pasaran kerjaya kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya warga belia.

“Inisiatif ini dikenal pasti berupaya merapatkan jurang digital dan merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi semasa,” katanya. – MalaysiaGazette