Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat tinjauan di jeti Nelayan bersama penduduk setempat ketika membuat lawatan di sekitar Kampung Nelayan Tanjung Kling, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 OKTOBER 2021.

PANTAI KUNDUR – Walaupun kemudahan jeti dinaik taraf dengan tempat perahu dan lampu tenaga solar mengelak dirosakkan ombak namun nelayan di Tanjung Kling di Melaka masih sukar mencari hasil laut.

Ketua komuniti nelayan kawasan berkenaan,, Aziz Japar, 57, meluahkan keluhan kira-kira 120 keluarga yang berdepan masalah pukat hanyut dirosakkan oleh kapal yang berlabuh di zon nelayan memancing di laut pada radius lima batu nautika.

Katanya, kehidupan mereka hanya bergantung kepada hasil laut setiap hari dan gangguan kapal besar menyebabkan hasil mereka terganggu.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar, 57, (tengah) membuat tinjauan di jeti Nelayan bersama penduduk setempat ketika membuat lawatan di sekitar Kampung Nelayan Tanjung Kling, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 OKTOBER 2021.

“Bayangkan kami bukan kaya raya dan tak tahu kerja lain hanya tahu pergi laut dan menangkap ikan untuk keperluan keluarga tetapi ia dijejaskan oleh kehadiran kapal besar yang berlabuh.

“Lagi pun jeti di sini dinaik taraf kerajaan BN (Barisan Nasional)  serba sedikit menyelamatkan perahu nelayan daripada rosak dipukul ombak kuat.

“Waktu Perintah Kawalan Pergerakan sehingga kini kami tiada masalah pergi ke laut untuk tangkap ikan, cuma kehadiran sehingga 30 kapal merosakkan pukat hanyut kami,” dakwanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa tinjauan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak ke kawasan berkenaan hari ini.

Justeru, Aziz berkata, masalah berkenaan sudah beberapa kali telah dirujuk kepada Jabatan Laut namun tidak dilayan.

“Kami pernah membawa masalah ini kepada Jabatan Laut dengan mencadangkan supaya sempadan zon nelayan dan zon kapal diwujudkan bagi mengelak kapal besar masuk dalam kawasan nelayan lima batu nautika.

“Kita pernah membawa cadangan itu menerusi kerajaan negeri Melaka tetapi terus ditolak Jabatan Laut,” dakwanya lagi.

Ujar Aziz, kadang-kadang kehadiran kapal besar boleh mencecah sehingga 30 buah tanpa mengira waktu menyebabkan ada masanya nelayan  terpaksa  pulang tanpa sebarang hasil tangkapan kerana pukat hanyut dirosakkan oleh kapal berkenaan.

“Jika sekali rosak, kami terpaksa mengeluarkan kos mencecah RM3,000 hingga RM4,000 untuk membeli pukat hanyut  baharu dan ia sudah berlaku beberapa kali sebelum ini.

“Kedua, kita juga berdepan masalah penambakan laut yang giat di kawasan Tanjung Kling sekaligus menjejaskan pembiakan serta penangkapan ikan di kawasan kami di sini.

“Kita tidak ada tanah untuk bercucuk tanam atau menanam nanas, tangkapan laut sahaja satu-satunya kerja yang kami tahu sejak lebih 30 tahun lalu secara turun-temurun.

“Jika kedua-dua masalah kerosakan pukat hanyut dan penambakan laut berlaku, ke mana kami hendak mengadu untuk cari penyelesaian,” keluhnya.

Beliau meletakkan harapan kepada bakal kerajaan negeri supaya memberi keutamaan dan menyelesaikan permasalahan nelayan Tanjung Kling.

“Saya sangat berharap, bakal kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Melaka nanti dapat prihatin dan menyelesaikan segera permasalahan kami ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette