Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyampaikan bakul makanan kepada Juriah Amat Saat, 81, yang juga penerima Projek Jiwa Murni pada Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Kementerian Pertahanan di Kampung Sri Tambak, Kluang hari ini. Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (dua, kiri).

KLUANG – Kementerian Pertahanan akan memastikan aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi keutamaan selaras dengan peruntukan dalam Bajet 2022.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peruntukan yang bakal diterima tahun depan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya termasuk menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota, veteran ATM selain menambah baik infrastruktur di sekolah di dalam kem ATM.

“Itu keutamaan kita sebab dalam keadaan anggota kita merupakan petugas barisan hadapan. Tadi saya sempat berjumpa dengan kor perubatan, saya tanya apa keperluan mereka dan sebenarnya dari segi perkakas serta peralatan mereka rasa mencukupi, cuma kebajikan.

“Jadi, untuk pastikan moral mereka tinggi, itu mesti diberikan tumpuan dan saya telah nyatakan kepada mereka kalau ada kekangan atau keperluan mereka boleh hubungi Pejabat Menteri Pertahanan secara langsung,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Kementerian Pertahanan di Kampung Sri Tambak, di sini hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 semalam mengumumkan Kementerian Pertahanan diperuntuk dana sebanyak RM16 bilion.

Mengulas mengenai Hospital Medan ATM, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata pengoperasian Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru akan dikekalkan, mengambil kira kedudukannya berhampiran sempadan antarabangsa Malaysia dan Singapura.

“Hospital Medan ATM di Pulau Pinang pula saya tengok keadaan agak reda, di Johor saya minta mereka bertahan lagi kerana banyak perkara yang kita nak fikirkan… perjalanan rakyat Johor dan Singapura, jika kita tutup di Johor, kalau sesuatu berlaku dalam landskap hubungan dua hala dengan Singapura saya bimbang akan jadi satu hal pula.

“(Apabila tutup, nanti) nak mulakan balik, nak bina semula jadi saya minta mereka kekalkan dahulu di Johor, manakala di Pulau Pinang bergantung kepada keputusan mereka sendiri dengan melihat keadaan semasa,” katanya sambil menambah setakat ini hanya tiga Hospital Medan ATM masih beroperasi iaitu di HSA, Unit Rawatan Rapi Hospital Kepala Batas dan Hospital Pulau Pinang.

Menyentuh mengenai peralihan fasa pandemik ke endemik, Hishammuddin berkata keputusan kerajaan untuk negara memasuki fasa endemik wabak COVID-19 akan ditentukan selepas menilai kesan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini.

“Keputusan untuk peralihan fasa akan dibuat selepas membuat penilaian terhadap pelbagai kelonggaran diberi antaranya rentas negeri, rentas sempadan dan juga pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Jadi ketika ini, fasa Pelan Pemulihan Negara berjalan seperti biasa yang ketika ini kita sedang memberi fokus kepada suntikan penggalak,” katanya.

Sementara itu, mengenai Projek Jiwa Murni (PJM), beliau berkata program yang dilaksana Kementerian Pertahanan itu akan diperluas dalam masa terdekat selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata meskipun Kementerian Pertahanan dan ATM lebih menumpukan kepada aspek keselamatan dan pertahanan negara, namun mempunyai tanggungjawab juga kepada masyarakat seperti kementerian-kementerian lain sekali gus mendekatkan hubungan anggota dengan masyarakat awam.

“PJM bertujuan membantu meringankan beban golongan asnaf dan kurang berkemampuan. Tahun ini, sebanyak 107 PJM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kos RM1.68 juta melibatkan kerja pembinaan baharu, baik pulih dan selenggara termasuk kediaman individu awam, veteran ATM serta bangunan komuniti,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast