Datuk Mohamaddin Ketapi. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi hari ini mengumumkan beliau keluar dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Segama itu berkata demikian dalam sidang media di Lahad Datu.

Beliau merupakan bekas menteri semasa pemerintahan Pakatan Harapan.

Sementara itu menurut laporan Bernama, Mohamaddin, 64, berkata beliau bertindak keluar parti bagi memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama yang menurutnya tiada kemajuan sampai ke kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau membuat pendirian untuk menjadi ADUN Bebas yang mesra kerajaan negeri Sabah, namun beliau menjadi Ahli Parlimen yang bebas semata-mata di peringkat Persekutuan.

“Saya berpendapat jika saya berterusan berada dalam pembangkang, Segama tidak akan maju, ada lagi empat tahun baharu ada pilihan raya negeri lagi, tiada lagi sebarang bentuk kemajuan mahupun pembangunan di kawasan ini, sifar, satu tandas awam pun tiada, (Parlimen) Lahad Datu pula keadaan serupa berlaku.

“Bila saya balik, pengundi kawasan saya tanya bila kita mahu ada pembangunan, mahu ada Pejabat Daerah Kecil Segama… sedangkan Segama ini ada ladang dan kilang kelapa sawit yang banyak ia menyumbang pendapatan tinggi kepada Lahad Datu,” katanya.

Berikutan tindakan Mohamaddin hari ini, Warisan kini hanya memiliki tujuh kerusi di Dewan Rakyat dan 19 kerusi di DUN Sabah.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Mohamaddin menang kerusi Parlimen Lahad Datu ketika itu dikenali Parlimen Silam dengan majoriti 6,401 undi dalam saingan empat penjuru, manakala Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 tahun lepas beliau memenangi kerusi DUN Segama dengan 2,168 undi dalam saingan lapan penjuru.

Mohamaddin, yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata walaupun mengambil pendirian menjadi Ahli Parlimen bebas, beliau akan menyokong mana-mana usaha kerajaan Persekutuan yang mampu membantu rakyat di negara ini.

“Sekiranya undi yang ada pada saya iaitu satu undi bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan tersebut.

“Menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat yang dipilih pengundi untuk menjayakan sebarang usaha kerajaan demi negara dan rakyat amnya,” katanya.

Mohamaddin turut menegaskan bahawa beliau mengambil tindakan keluar parti itu atas kerelaan sendiri dan tidak ‘dibeli’ atau ditawarkan apa-apa habuan daripada mana-mana pihak.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana membawa beliau menyertai parti itu dan sepanjang berada dalam parti itu, beliau serta penyokongnya telah memberikan kemenangan di kerusi Parlimen dan DUN terutama di Lahad Datu.

“Kita menang satu kerusi Parlimen (Lahad Datu) dan tahun lalu (PRN Sabah) empat kerusi DUN (dalam Parlimen Lahad Datu – Segama, Tunku, Silam dan Kunak) ini bermakna Datuk Seri Mohd Shafie tidak rugi bawa kita masuk Warisan dan saya syukur menyumbang banyak kerusi,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mengadakan sebarang perbincangan dengan Mohd Shafie atau menghantar surat mengenai tindakan itu, Mohamaddin menjawab beliau telah melakukan semua persediaan untuk berbuat demikian.

Mengenai kemungkinan Warisan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau, Mohamaddin berkata: “Saya telah bersedia. Tengoklah bagaimana keadaannya.”

Katanya, beliau tidak pasti bagaimana tindakannya itu akan menjejaskan kekuatan Warisan di Lahad Datu.- MalaysiaGazette