KUALA LUMPUR – Lima penyelidik dari Universiti UCSI tersenarai antara 2% saintis terbaik di dunia bagi tahun 2020 dalam pelbagai disiplin menurut laporan kaji selidik terkini Stanford University, Amerika Syarikat.
Penyelidik yang tersenarai dalam 2020 Single Year World’s Top 2% Scientists termasuk Profesor Kanan Ts Dr Ooi Keng Boon FASc (Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Siswazah (GBS), Profesor Kanan Dr Phang Siew Moi FASc (Timbalan Naib Canselor, Pengajian Siswazah dan Penyelidikan), Profesor Madya Dr Garry Tan Wei Han (GBS), Profesor Madya Dr Eric Chan Wei Chiang (Fakulti Sains Gunaan) dan Profesor Dr Prathap Gangan (Profesor pelawat Institut Sains Komputer dan Inovasi Digital).
Dalam laporan yang dikeluarkan pada 20 Oktober lalu, kesemuanya tersenarai dalam bidang berbeza iaitu pengurusan dan perniagaan dengan sub bidang sistem maklumat (Prof Dr Ooi), biologi marin dan hidrobiologi dengan sub bidang bioteknologi (Prof Dr Phang), sistem maklumat dengan sub bidang pengurusan dan perniagaan (Dr Garry), farmasi dan farmakologi dalam sub bidang sains makanan (Dr Eric) dan matematik gunaan di bawah sub bidang biologi tumbuhan dan botani (Dr Prathap)
Selain itu, Prof Dr Ooi dan Dr Prathap turut tersenarai di bawah kategori Career-long World’s Top 2% Scientists.
“Kepentingan pencapaian ini merangkumi pelbagai peringkat dan kami berharap ia akan
memberi inspirasi kepada pensyarah kami serta menunjukkan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita bekerja keras juga berterusan menghasilkan jurnal yang baik.
“Pengiktirafan ini juga memberi peluang untuk meningkatkan reputasi universiti di peringkat antarabangsa dan kami berharap ia akan menarik lebih banyak kerjasama antarabangsa pada masa akan datang,” kata Prof Dr Ooi. – MalaysiaGazette