MELBOURNE – Perjalanan bebas kuarantin dari New Zealand ke Australia akan disambung semula mulai Isnin, kata menteri pelancongan Australia pada Ahad ketika negara itu bersiap sedia untuk pembukaan semula sebahagian sempadan antarabangsanya buat kali pertama sejak Mac 2020.
Warganegara Australia yang telah divaksinasi dan penduduk tetap yang tinggal di New South Wales, Victoria dan ibu kota Canberra akan bebas terbang ke peringkat antarabangsa mulai Isnin tanpa memerlukan pengecualian atau dikuarantin apabila pulang.
Bagaimanapun, hanya pelancong dari negara jiran New Zealand akan dibenarkan masuk ke Australia, dengan syarat mereka diberi vaksin.
“Penyambungan semula perjalanan tanpa kuarantin dari New Zealand ke Australia adalah satu lagi penanda penting dalam perjalanan kami ke arah pemulihan,” kata Menteri Pelancongan, Dan Tehan dalam satu kenyataan.
Australia menutup sempadannya pada permulaan wabak itu, tetapo membenarkan hanya sebilangan kecil warganegara dan pemastautin tetap pulang dari luar negara, tertakluk kepada tempoh kuarantin 14 hari mandatori di hotel atas perbelanjaan mereka sendiri.
Lebih daripada 80 peratus orang berumur 16 tahun ke atas di New South Wales, Victoria dan Canberra telah diberi vaksin sepenuhnya.
Ia merupakan syarat untuk menyambung semula perjalanan antarabangsa.
Dengan arahan terbaharu itu bermakna kira-kira 14 juta rakyat Australia akan bebas meninggalkan dan memasuki negara itu jika mereka diberi vaksin sepenuhnya. – Reuters