Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu adil dalam perbelanjaan negara dengan merujuk kepada laporan audit negara secara serius.

Dengan memberikan contoh, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ia boleh dilkukan dengan mengawal defisit secara bijaksana, iaitu tidak boros dalam berbelanja.

Katanya, rasuah dan ketirisan perlu disanggah secara total di semua peringkat, iaitu di peringkat pekerja, pengurusan dan kementerian.

“Kontrak-kontrak kerajaan secara rundingan terus perlu disanggah agar persaingan dapat dijalankan dengan adil serta mengikut harga yang kompetitif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai Bajet 2022, Shahir berkata, bantuan tunai kepada rakyat adalah pelan jangka pendek yang berkesan dalam membantu rakyat.

Ujarnya, ramai rakyat menjadi miskin akibat penularan wabak Covid-19 dan jika dibayangkan hampir 13 peratus daripada kumpulan T20 turun kepada M40 dan 20 peratus kumpulan M40 turun kepada B40.

Keadaan itu kata beliau menjadikan negara bergerak ke belakang dan pelan tindakan susulan perlu diambil.

Dalam pada itu Shahir berkata, pihaknya berharap agar Kementerian Kewangan dapat membantu golongan bujang B40 yang tercicir daripada pemberian Bantuan Keluarga Malaysia 2022, berbanding RM 350 daripada Bantuan Prihatin Rakyat.

Tambahnya, bantuan “hygiene kit” dalam membasmi “kemiskinan haid” di negara ini adalah suatu perkara yang wajib disokong semua pihak.

“Walaupun senario politik berubah sejak PRU-14, namun Belanjawan 2022 ini dibentangkan dengan tenang tanpa ganggu-gugat pihak pembangkang.

“Persefahaman MoU antara kerajaan dan pembangkang merupakan langkah politik bernas dalam menstabilkan suhu politik seterusnya meluluskan Bajet 2022 secara berhemah,” katanya. – MalaysiaGazette