MELAKA – Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), menyebabkan parti politik dikompaun di Melaka.
Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, antara pelanggaran SOP yang dilakukan adalah menggalakkan orang ramai berkumpul di sesuatu tempat, tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, tidak menyediakan Kod QR MySejahtera dan cecair pembasmi kuman.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua kompaun yang telah dikeluarkan di Melaka, membabitkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada 27 Okt lepas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.
Mengenai jumlah kompaun yang dikenakan, Abdul Majid berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh merujuk kepada Kementerian Kesihatan untuk rayuan pengurangan. – MalaysiaGazette