KUALA LUMPUR – Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy yang baharu dipilih semalam berikrar untuk memartabatkan sayap parti itu ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Malah Mohana yang pernah menerajui jawatan tersebut untuk penggal 2013 hingga 2018 sebelum Usha Nandhini Jayaram menggantikannya dari 2018- 2021 mahu mantan wanita itu tampil bekerjasama dengannya.

Bercakap dengan MalaysiaGazette hari ini, Mohana berkata, beliau bukan sahaja menghargai segala usaha Usha selama hampir tiga tahun ini menerajui sayap wanita parti itu tetapi pengalaman Usha masih perlu digunakan bagi kebaikan semua pada masa hadapan.

“Saya hendak ucapkan terima kasih kepada Usha, pada saya walaupun beliau kalah dalam perebutan jawatan ini tapi hakikatnya saya dan keseluruhan Wanita MIC mahu khidmat, jasa serta usaha beliau dalam sayap ini diteruskan.

”Kita sedang berdepan dengan cabaran getir, jadi pada masa ini bukanlah masa untuk berpuak-puak. Sebaliknya perlu sama-sama bekerjasama. Buang yang keruh ambil yang jernih,” katanya yang menyifatkan walaupun pertandingan untuk penggal ini sudah berakhir tetapi perjuangan perlu diteruskan.

Mohana menang besar dengan undian sebanyak 2,550 mengalahkan penyandang sebelum ini, Usha Nandhini Jayaram yang hanya mendapat 1,323 undi dalam pemilihan parti peringkat Kebangsaan dan Negeri di Ibu Pejabat MIC semalam.

Vickneswari Babuji pula berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Wanita Kebangsaan.

Mohana yang sudah menceburi politik sejak 1995 sudah menjawat pelbagai jawatan malah pernah bertanding untuk kerusi Parlimen Kapar pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini, bertekad untuk memperkasakan isu pendidikan dan ekonomi bukan sahaja untuk Wanita MIC tetapi secara keseluruhan.

Dalam pada itu, katanya, sayap Wanita MIC sudah siap sedia bersama sayapnya untuk ‘menggempur’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

“PRN Melaka dulu, kemudian kita juga akan fokus bekerja keras untuk Pilihan Raya Umum ke-15, kita perlu ‘all out’ untuk memastikan kemenangan besar kelak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast