Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 ekoran dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika berceramah kepada pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau hairan bagaimana Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengeluarkan kompaun tersebut sedangkan ceramah itu diadakan tanpa ada sebarang kontak fizikal, tiada perhimpunan dan berlangsung secara bergerak menggunakan lori.

Malah katanya, jumlah kompaun dikeluarkan juga tidak munasabah dan terdapat saksi yang melihat ceramah tersebut diadakan tanpa ada pelanggaran SOP.

“Pada ingatan saya kita ada gambar-gambar yang kita ambil yang menunjukkan petugas yang mengendalikan lori tersebut…ada pasukan media yang hadir dan juga pasukan keselamatan dan cawangan khas.

“Ini merupakan satu perkara yang amat saya kesali dan saya desak menteri kesihatan untuk meneliti dengan lebih tepat lagi apa dia sebenarnya yang tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Menurut Shamsul Iskandar, adalah tidak wajar sekiranya parti-parti tidak boleh berkempen untuk pilihan raya kerana perkara itu boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah-kaedah kreatif seperti dilakukan oleh PKR, sebagaimana dilakukan semalam.

Dengan mengambil contoh ketika negara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) mengadakan pilihan raya umumnya sebelum ini, Shamsul Iskandar berkata, kaedah yang digunakan di negara tersebut secara “drive thru” menerusi sebuah skrin besar dan pendengar hanya perlu berada di dalam kenderaan masing-masing.

Beliau percaya kaedah itu juga diyakini dapat mengawal penularan wabak Covid-19.

“Itu adalah kreativiti masing-masing untuk mengelak penyebaran wabak…saya ingin tegaskan kita akan buat program seperti itu membabitkan konsep-konsep yang lain sedikit seperti di negara-negara lain bagi meminimumkan kehadiran orang ramai,” ujarnya yang memberitahu kompaun tersebut dikeluarkan selepas sesi ceramah yang dibuat oleh beliau secara bergerak di Taman Kerubong Jaya, Melaka.

Beliau berkata, sepucuk surat akan dihantar oleh beliau kepada menteri kesihatan dan menteri dalam negeri mengegsa mereka memberikan penjelasan kepada anggota penguatkuasa agar lebih memahami arahan dan tidak bertindak secara pukul rata.

Katanya lagi, beliau akan merujuk surat kompaun yang diterima kepada peguam untuk tindakan selanjutnya dan berkemungkinan akan memfailkannya di mahkamah sekiranya terdapat keraguan.

Dalam pada itu Shamsul Iskandar mendakwa, pemimpin parti-parti lawan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional turut mengadakan sesi ceramah semalam dengan kehadiran ramai orang.

Beliau mempersoalkan sama ada pihak terbabit turut menerima kompaun sebagaimana yang diterima PKR kerana melakukan ceramah itu.

Tambah beliau, pihak yang berkenaan perlu menjawab perkara yang dibangkitkan bagi mengelak tuduhan bahawa demokrasi seolah-olah dipermainkan oleh parti-parti yang dipimpin oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini. – MalaysiaGazette