Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Meskipun UMNO tidak maksum tetapi Pakatan Harapan juga tidak perlu acah-acah suci.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan secara sinis berkata, ini kerana ada pihak ‘sana’ yang berjumpa dengan bermesra dengan orang-orang sama yang digunakan untuk memukul dan mentertawakan UMNO.

Malah, dalam ucapan sebuah majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR), orang-orang yang sama itu dirujuk sebagai ‘Panglima’.

”Ada yang kata, apa salahnya Presiden PKR berjumpa dengan ADUN Melaka? OK, tak salah pun berjumpa..Tapi apa ertinya apabila meraikan mereka dan merujuk mereka sebagai “panglima”?

”Hari ini kita telah dapat jawapan – PH terbuka menjalin kerjasama dalam PRN Melaka. Kita tunggu apakah ini bermaksud kelak rakyat akan diminta pilih tiga individu ini atas tiket PH. Jika tidak sekalipun, nampaknya PH menghargai “jasa” dan menganggap mereka sebagai aset,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau dipercayai merujuk Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (PPBM-Teluk Mas).

Shahril menambah, mujur UMNO mengambil tindakan tegas dan tangkas memecat keahlian ADUN yang terlibat.

”Apapun kelemahan UMNO, tiada siapa boleh pertikai parti mengambil tindakan yang jelas dalam hal ini dalam masa 24 jam,” ujarnya.

Beliau berharap rakyat Melaka dapat memberi pertimbangan dengan sepenuhnya apa yang telah berlaku, siapa dalangnya dan siapa menangguk di air keruh.

”Bukan Ketua Menteri. Bukan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka. Dan tentunya bukan parti jauh sekali akar umbi UMNO khususnya di Melaka. Tetapi tiga orang ADUN berserta tukang catur dan sorak mereka,” tegas beliau.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast