Anwar Ibrahim RMK12 Twelfth Malaysia Plan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini mengenai pertambahan pusat perjudian oleh kerajaan Melayu Islam, yang dianggap sebagai mengejutkan bagi pihak pembangkang.

Beliau berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan, cabutan khas judi telah diturunkan daripada 22 cabutan kepada lapan cabutan.

Bagaimanapun, sebaik kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan menerusi ‘Langkah Sheraton’, jumlah cabutan khas itu dinaikkan kepada asal iaitu 22 cabutan.

“Ini agak mengejutkan apabila saya dapat maklumat daripada laporan polis dan kenyataan media, berlaku penambahan atau percambahan pusat perjudian oleh kerajaan Melayu Islam sekarang ini.

“Ia bertambah dengan jumlah yang mengejutkan iaitu sekitar 62 kelab perujudian yang kebanyakannya melibatkan orang Melayu beragama Islam.

“Fahaman saya, apabila ia menjadi ahli kelab, ia dibenarkan berjudi dan jumlah orang Melayu Islam dalam kes perjudian ini telah mencecah puluhan ribu melibatkan 45 peratus daripada jumlah kelab judi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Menurut Anwar, beliau mahu Menteri Kewangan memberi penjelasan mengenai kes itu yang disifatkan sebagai melanggar dan dilakukan dalam keadaan terbuka oleh kerajaan sekarang.

Katanya, nampak seperti ada usaha oleh pihak tertentu untuk melindungi fakta itu, selain mahu kerajaan menjelaskan secara terperinci berapa jumlah slot mesin, anggota dan orang Melayu yang menjadi anggotanya.

Ujar beliau, kerajaan tidak boleh menafikan perkara itu kerana ia ada dalam rekod aplikasi MySejahtera berhubung pihak yang terlibat.

Beliau juga minta Menteri Kewangan dan polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah menyemak apa yang didedahkan itu berdasarkan laporan polis yang dibuat orang ramai dan rakaman video.

“Saya faham apabila melibatkan kepentingan besar, syarikat besar dan tauke maha kaya, tindakannya agak lambat,” katanya.

Anwar juga mahu tahu kenapa sebuah syarikat perjudian besar boleh bergerak sewenang-wenangnya, termasuk mengundang orang Melayu kelas atasan untuk bersama dalam kegiatan itu.

“Saya nak tahu juga tindakan yang diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adakah agensi ini menyemak kedudukan syarikat berkenaan dan apa tindakan yang telah diambil.

“Saya minta penjelasan ini kerana sebahagian besar daripada kelulusan lesen kepada syarikat perjudian ini dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU14,” tegasnya.

Beliau tekankan hal itu supaya kerajaan dan Menteri Kewangan mengambil serius soal perjudian, cabutan khas tambahan dan juga pemberian lesen, kerana ia melibatkan dana dan bantuan kewangan yang besar kepada pihak tertentu. – MalaysiaGazette