PUTRAJAYA – Seorang bekas tukang masak terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas kesalahan mengedar kanabis seberat 4,754 gram, lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed sebaliknya mensabitkan Rozman Ibrahim, 37, selaku perayu atas kesalahan memiliki dadah itu dan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 12 November 2013.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata sabitan dan hukuman mati terhadap perayu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) adalah tidak selamat kerana hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membuat dapatan bercelaru tentang pemilikan dan pengedaran dadah oleh perayu semasa dia dipanggil untuk membela diri.

“Kegagalan keadilan telah berlaku ke atas perayu kerana tiada hala tuju diberikan kepada perayu atas beban dikenakan ke atasnya.  Mahkamah Rayuan juga telah tersilap apabila mengguna pakai proviso Seksyen 60(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Akan tetapi, berdasarkan kepada keterangan yang ada, mahkamah berpuas hati bahawa perayu memiliki dadah jenis kanabis seberat 4,754 gram. Dengan ini, mahkamah membenarkan rayuan perayu untuk mengetepikan hukuman gantung dan menggantikan dengan kesalahan memiliki dadah,” kata Azahar yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Rozman merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 September 2019 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Oktober 2017 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya.

Dia didapati bersalah atas pertuduhan bersama-sama seorang lelaki yang telah bebas, mengedar dadah berkenaan di tempat letak kereta Taman Medan Pejasa, Petaling pada 7.30 petang, 12 November 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, peguam Suzana Norlihan Alias, yang mewakili Rozman berhujah bahawa anak guamnya tidak mendapat perbicaraan yang adil hingga menyebabkan berlaku kegagalan keadilan.

“Hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira pembelaan perayu sebaliknya bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi tanpa meneliti secara keseluruhan keterangan sedia ada daripada pihak pendakwaan dan pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah bahawa sabitan terhadap perayu adalah selamat dan disokong oleh keterangan yang mencukupi untuk membuktikan elemen pertuduhan yang dikenakan terhadap perayu.

“Responden (pendakwa raya) memohon agar mahkamah ini tidak mengganggu dapatan serta keputusan hakim Mahkamah Tinggi dan keputusan yang dicapai oleh panel hakim Mahkamah Rayuan di dalam kes ini, seterusnya menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast