KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi insentif tambahan RM500 sebulan kepada pekerja tempatan bergaji minimum RM1,200 yang bekerja di pelbagai sektor di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, insentif tambahan beserta dengan beberapa elaun lain adalah usaha serius kerajaan menarik minat rakyat tempatan bekerja di dalam negara.
Katanya, insentif itu juga sebagai usaha mengurangkan penghijrahan pekerja tempatan mencari pekerjaan di luar negara seperti Australia dan Korea Selatan yang menawarkan bagi lumayan.
“Dengan insentif ini, sekurang-kurangnya pekerja tempatan mendapat gaji antara RM1,700 hingga RM2,000 sebulan dan kaedah ini mampu menarik minat rakyat tempatan bekerja di pelbagai sektor disediakan.
“Kita serius agar rakyat tempatan dapat mengisi kekosongan jawatan di semua sektor dengan tawaran insentif yang menarik ini,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 di Parlimen, hari ini.
Mengenai punca rakyat Malaysia sanggup bekerja secara haram di Australia dan Korea Selatan, Awang berkata, ini disebabkan gaji yang ditawarkan oleh dua negara itu agak tinggi.
Beliau memberi contoh, syarikat di Australia menawarkan gaji RM84 sejam, manakala di Korea Selatan sebanyak RM33 sejam.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia hanya membenarkan pekerja tempatan mendapatkan pekerjaan di negara itu dengan mendaftar daripada syarikat mengurus pekerja berlesen.
“Ini bagi menjamin keselamatan pekerja tempatan apabila berada di negara itu untuk bekerja.
“Setakat ini, kerajaan tidak menerima sebarang aduan dari pekerja tempatan yang bekerja di dua negara berkenaan dan pada masa sama kerajaan menerusi agensi penguatkuasa sentiasa membuat pemantauan,” katanya. – MalaysiaGazette