Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar indikator Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan namun kadar kematian meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk tempoh 24 hingga 30 Oktober lalu, jumlah kes kumulatif adalah 2,466,663 kes dengan 28,876 kes kematian.

“Kebanyakan indikator utama menunjukkan tren penurunan. Walau bagaimanapun, kadar kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 5.2 peratus berbanding minggu epidemiologi sebelumnya (ME ke-42),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun bagi minggu sama, kes baharu Covid-19 didapati menurun 2 peratus daripada daripada 41,508 kes kepada 40,613 kes.

Dr. Noor Hisham berkata, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Melaka menunjukkan kadar insiden kes tertinggi bagi setiap 10,000 penduduk.

“Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 15.0 peratus iaitu daripada 83,605 kes (ME ke-42) kepada kes 70,829 kes (ME ke-43). Penurunan kes aktif ini dilihat sejak lapan minggu lepas,” jelas Noor Hisham.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, kes kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 5.2 peratus iaitu daripada 496 kes (ME ke-42) kepada 522 kes (ME ke-43) manakala kadar kematian kes semasa adalah sebanyak 1.1 peratus dan kadar kematian keseluruhan adalah 1.2 peratus.

“Sarawak, Perlis, dan Pulau Pinang mencatatkan insiden kes kematian tertinggi bagi setiap 1 juta populasi.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan penurunan 12.0 peratus iaitu 571 kes (ME ke-42) kepada 505 kes (ME ke-43).

“Kes yang memerlukan bantuan pernafasan menunjukkan penurunan 14.4 peratus iaitu 250 kes (ME ke-42) kepada 214 kes (ME ke-43). Penurunan kes yang memerlukan bantuan pernafasan dilihat sejak 11 minggu lepas,” ujarnya.

Malaysia mencatatkan 4,626 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 4,620 kes tempatan melibatkan 4,440 warganegara dan 180 bukan warganegara.

Daripada jumlah itu, enam kes import dikesan melibatkan dua warganegara dan empat bukan warganegara.

Sejumlah 569 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 301 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kluster yang dikesan Kementerian Kesihatan untuk hari ini juga didapati menurun kepada lima dengan tiga Kluster Tempat Kerja dan masing-masing satu Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi dan Kluster Institusi Pendidikan KPM. – MalaysiaGazette