Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan dahulu melakukan kesilapan besar apabila membuat keputusan memansuhkan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib  Razak berkata, pemansuhan itu sebenarnya telah memberi impak yang amat besar terutama ketika negara dan dunia khususnya berdepan dengan pandemik Covid-19.

Beliau memberi contoh, dalam usaha melawan penularan wabak itu, kerajaan Arab Saudi telah menaikkan kadar GST dari lima kepada 15 peratus, manakala Indonesia menaikkan dari 10 ke 11 peratus tahun hadapan dan 12 peratus tahun seterusnya.

Kadar GST Singapura pula, kata beliau, akan dinaikkan dari tujuh ke sembilan peratus tahun hadapan.

“Saya tidak merasakan negara seperti Arab Saudi, Indonesia dan Singapura ini tidak membuat kajian secara mendalam atau bersikap kejam dalam melaksanakan langkah ini.

“Tidak seperti di negara ini, ketika kerajaan BN berusaha untuk meningkatkan hasil negara bagi membantu rakyat, pembangkang dan musuhnya memomokkan kononnya negara sudah bankrap,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, petang ini.

Menurut Najib, apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah dan memansuhkan GST, mereka mula mengorbankan kepentingan jangka panjang dengan menjual beberapa aset negara.

Berikutan tindakan itu, kerajaan PH terpaksa bergantung kepada hasil minyak untuk mengurus perbelanjaan negara menyebabkan aset dan rizab Petronas pula berkurangan dari tahun ke tahun.

“Selepas PH jatuh, kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) pula mengambil alih pentadbiran dan melaksanakan “lockdown” separuh masak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama di dunia dalam pengawalan Covid-19.

Mengulas mengenai Bajet 2022 yang dibentang pada Jumaat lalu, Najib yang merupakan bekas Menteri Kewangan berkata, itu adalah bajet terbesar dalam sejarah negara dengan defisit yang masih tinggi.

Bagaimanapun, tegasnya, ia penuh risiko apabila kerajaan terpaksa meminjam lebih banyak dana, sedangkan unjuran pendapatan kerajaan masih rendah.

“Bagi saya, keadaan ini berlaku disebabkan beberapa keputusan dan tindakan salah yang diambil kerajaan yang dibentuk selepas PRU14 dan terpaksa ditanggung oleh kerajaan hari ini.

“Di bawah kerajaan BN dahulu, defisit serta nisbah hutang negara telah menurun lapan tahun berturut-turut dengan suku pertama 2018 nisbah hutang kepada KDNK berjaya diturunkan ke 48.7 peratus.

“Bagaimanapun, nisbah hutang ini naik semula setiap tahun bermula 2018 sehingga mencapai tahap 62 peratus pada akhir tahun lepas dan dijangka melebihi 66 peratus tidak lama lagi setelah had hutang telah dinaikkan dua kali dari 55 ke 60 peratus pada 2020 dan seterusnya dinaikkan dari 60 ke 65 peratus awal bulan ini,” katanya.

Menurut Najib, defisit dan hutang negara sebenarnya akan lebih tinggi lagi, tetapi dibantu oleh pengambilan dividen yang tinggi melampau dari Petronas sejak PRU 14.

Ujar beliau, pada Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas pernah memberi amaran bahawa dividen yang ‘dipaksakan’ terhadap Petronas telah melebihi keuntungannya setiap tahun sejak 2018.

Katanya, sekiranya Petronas untung RM100 setahun, tetapi dalam masa sama perlu membayar dividen tahunan antara RM120 hingga RM150, maka aset dan rizabnya akan berkurang dari tahun ke tahun.

“Bukit kalau sentiasa ditarah pun akan gondol licin,” katanya.

Kata Najib, nilai bersih Petronas iaitu aset tolak semua liabiliti atau hutang naik RM318.0 bilion atau hampir empat kali ganda dari RM114.4 bilion sebelum beliau jadi perdana menteri pada 2009 ke RM432.3 bilion.

Ini, termasuk rizab tunai pada ketika PRU14, tetapi sudah menjadi sejarah setelah Petronas dijarah secara berterusan dan asetnya terpaksa dijual untuk membayar dividen melampau sejak 2018.

Bekas Perdana Menteri itu memberi contoh aset yang dijual termasuk kepentingan saham dalam MISC, Petronas Dagangan dan Petronas gas bernilai RM6 bilion yang dijual pada 9 Disember 2019.

Ini dikuti kepentingan saham dalam MISC dan KLCC bernilai RM3.04 bilion dijual pada 10 Disember 2020 dan baru-baru ini, Petronas menjual pula aset gas di Azerbaijan bernilai RM9.4 bilion yang menjadi kontroversi dalam Dewan Rakyat minggu lepas dijual pada harga sama.

Sehubungan itu, katanya, penarafan Petronas juga telah diturunkan tiga tahun berturut-turut oleh pelbagai agensi penarafan antarabangsa.

“Ini bermakna, kerajaan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada Petronas untuk membiayai perbelanjaan kerajaan pada masa hadapan, sekali gus mengurangkan satu sumber penting bagi hasil kerajaan.

“Di samping itu, menjejaskan pelaburan Petronas dalam mencari kawasan minyak yang baru untuk menggantikan rezab petroleum yang menurun atau ‘depleted’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast