Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap had maksimum i-Citra dinaikkan sehingga RM10,000 sebagai skim pengeluaran khas terakhir rakyat yang terdesak untuk membayar tunggakan dan dijadikan modal memulakan perniagaan kecil.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ketika turun ke Melaka baru-baru ini, ramai yang bersuara dan mendesak agar pengeluaran i-Citra dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

“Dua hari lepas dan semalam, saya berkesempatan berjalan-jalan di Melaka dan berkongsi gambar aktiviti di akaun media sosial saya dan hampir sebahagian besar komen daripada followers Facebook saya membangkitkan soal i-Citra yang tidak disentuh semasa pembentangan Bajet 2022.

“Sebelum ini saya yang kerapkali mencadang dan memperjuangkan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan juga i-Citra KWSP, tetapi, saya pula menjadi sasaran dan dipersalahkan sebab had maksima i-Citra tidak dinaikkan kepada RM10,000.

“Saya dapati ramai bersuara dan mendesak ini sebenarnya mereka mempunyai tunggakan yang perlu dijelaskan ataupun berniat untuk mengumpul modal bagi memulakan perniagaan kecil. Mereka bukan suka-suka mahu mengeluarkan wang caruman mereka,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, petang ini.

Beliau berkata, pengeluaran i-Citra sehingga RM10,000 tidak boleh disifatkan sebagai langkah ‘populis’, tetapi ia berpunca daripada keperluan mendesak rakyat.

Kata Najib, sebagai mengimbangi pengeluaran itu, kerajaan perlu memberi keutamaan untuk memulihkan semula simpanan rakyat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana beliau bangkitkan dalam perbahasan Bajet 2021 tahun lepas.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu pertama, pasca Covid-19, kerajaan boleh membantu KWSP untuk meraih pendapatan lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP.

“Contohnya, sebelum ini projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49 peratus dalam syarikat PLUS. Bukan diberikan kepada kroni.

“Ini selari dengan cadangan saya tadi, projek Bandar Malaysia ataupun cadangan nama baru Bandar ASEAN perlu diberi kepada KWSP dan PNB dengan syarat ‘terminus’ project high speed rail Kuala Lumpur ke Singapura dikembalikan mengikut konsep asal, iaitu dari Singapura ke Bandar Malaysia, bukan dari Johor Bahru ke KLIA.

“Kedua, menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum serta ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat dengan izin “multi-tier dividend structure”, di mana baki simpanan yang lebih rendah akan menerima dividen yang lebih tinggi supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah,” ujarnya.

Beliau yang merupakan bekas Perdana Menteri berkata, kaedah bayaran dividen secara multi-tier itu patut diperluaskan ke tabung simpanan lain seperti ASB, ASM dan Tabung Haji agar matlamat untuk merapatkan jurang pendapatan seperti disasarkan dalam RMK-12 akan tercapai.

Katanya, walaupun Bajet 2022 memberi banyak bantuan kepada rakyat secara terus, ia tidak dilihat mengajukan halatuju pembangunan negara dan bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 peratus hingga 6.5 peratus kerajaan perlu jumlah pelaburan sebanyak RM237 bilion dari pihak kerajaan dan swasta.

Beliau juga berkata, hanya memberi subsidi gaji untuk menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan baharu bukan langkah yang mampan atau ‘sustainable’ ataupun boleh mencapai sasaran pelaburan tersebut.

“Ini kerana apabila subsidi gaji kerajaan terhenti, majikan akan mula membuang semula pekerja. Justeru, kita perlu menggalak dan merancakkan ekonomi supaya majikan benar-benar memerlukan pekerja untuk memenuhi permintaan perniagaan mereka selaras dengan peningkatan ekonomi negara.

“Selaras dengan ini, seperti saya telah utarakan dalam perbahasan RMK-12 bulan lepas, saya sekali lagi mencadangkan projek infra-rakyat yang telah dihentikan atau dikurangkan skop untuk dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Antara yang diutarakannya ialah untuk mengembalikan projek HSR dengan skop asal menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura yang akan merealisasikan visi dan misi bagi menghubungkan dua ekonomi terbesar ASEAN, di mana integrasinya akan memberi limpahan berganda kepada ekonomi negara serta menarik perhatian dunia.

Kata Najib, ketika pembinaan projek HSR dijangka dapat menjana 70,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi secara langsung dan tidak langsung, manakala, selepas projek HSR siap beroperasi, ia mampu memberi keuntungan ekonomi sekitar AS$1.6 bilion setahun mengikut kaji selidik Institute of Developing Economies, Japan dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura.

“Menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada KLIA ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak ‘viable’ dan akhirnya merugikan negara apabila terpaksa membayar subsidi berbilion ringgit.

“Dana untuk memulakan projek HSR dari Singapura ini juga merupakan cara pembiayaan projek dan tidak termasuk ke dalam hutang kerajaan terus atau defisit bajet.

“Malah, kita juga boleh berunding dengan kerajaan Singapura untuk mengambil kesempatan kos kewangan yang lebih rendah kerana kadar faedah di bawah satu peratus dari negara itu dengan menempah pasaran bon bagi membiayai projek berkenaan ataupun mendapatkan projek financing dari negara luar dengan faedah yang sama rendah serta tempoh moratorium yang panjang,” katanya.

Beliau menjelaskan, jika dilaksanakan sekarang, suntikan ke dalam ekonomi tempatan bagi projek yang begitu besar dengan kos kewangan rendah merupakan satu suntikan besar kepada ekonomi negara dari segi penjanaan peluang pekerjaan baharu dan kegiatan ekonomi.

Katanya, projek LRT3 yang telah dipotong skopnya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga menjadi bahan jenaka juga patut dikembalikan ke skop asal.

Ini kerana sesebuah projek infra rakyat dibina untuk kemudahan rakyat pada jangka masa panjang mungkin melebihi 30 tahun dan mengikut maklumat diterima, kos untuk memulihkan LRT3 ke skop asal cuma sekitar 15 peratus lebih tinggi berbanding kos sekarang.

“Dengan tambahan kos 15 peratus ini, kita dapat memulihkan kepanjangan platform stesen kepada saiz asal supaya tren dengan enam gerabak boleh digunakan dan jumlah tren juga dapat dipulihkan kepada 44 tren dengan enam gerabak dari 22 tren dengan tiga gerabak, jumlah fasiliti ‘park & ride’ dikembalikan dari 2,000 lot parkir ke 6,000 lot dan lima stesen yang telah dibatalkan dapat dibina semula.

“Kita perlu mengambil kesempatan semasa projek ini masih dalam pembinaan untuk kembalikannya kepada skop asal. Jika dibuat kemudian, masa lebih panjang dan kos lebih tinggi akan ditanggung,” kata beliau. – MalaysiaGazette