Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pembangkang menyifatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus sebagai tidak realistik dan tertinggi di dunia.

Ini kerana, unjuran KDNK dunia secara purata pun 4.9 peratus, diikuti negara maju (4.5 peratus) dan negara membangun (5.1 peratus).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, unjuran KDNK bagi Amerika Syarikat pun setakat 5 peratus, negara Eropah (4.3 peratus), Korea (3.3 peratus), China (5.6 peratus), Singapiura (3.2 peratus), Indonesia (5.9 peratus) dan Thailand (4.5 peratus).

“Malaysia boleh capai 6 peratus. Bagi kami, ia agak kurang realistik berdasarkan angka pertumbuhan, unjuran pertumbuhan dan pendapatan negara.

“Kalau berhasil, Alhamdulillah, tetapi unjuran itu mestilah harus realistik,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga turut menyentuh mengenai jangkaan jumlah hasil kerajaan seperti dinyatakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen, pada Jumaat.

Menurut Anwar, jangkaan yang disebutkan ialah RM234 bilion iaitu tertinggi berbanding Bajet 2021.

Bagi beliau, jumlah itu agak munasabah, tetapi kalau dilihat kepada dampak Covid-19, ada beberapa perkara yang boleh dipertikaikan.

“Walaupun jumlahnya disebut RM234 bilion untuk tahun 2022, berbanding RM264 bagi tahun 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, tetapi PH memasukkan jumlah suntikan dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion dan juga program khas pengakuan sukarela RM6 bilion.

“Kalau ditolak RM36 bilion itu, maknanya unjuran tahun depan itu lebih tinggi daripada hasil tahun 2019. Kemunasabahan ini boleh dipertikai kerana ekonomi kita baharu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Presiden PH berkata, dalam pembentangan Bajet 2022 itu juga ada menyebut angka RM8.2 bilion sebagai jumlah pulangan daripada pelaburan dalam negeri dan sebagainya.

Baginya, Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan secara terperinci apakah jumlah pulangan itu daripada penjualan aset, penjualan tanah kerajaan atau aset saham dan sebagainya kerana jumlah itu dianggap tinggi.

“Begitu juga hasil yang diambil daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), saya nak ingatkan, kita tidak boleh lari daripada matlamat asal KWAP dan KWAN untuk menjaga kepentingan generasi akan datang.

“Kalau dirasakan amat terdesak dan perlu digunakan sekarang, saya harap jangan kita jejaskan kepentingan hasil masa depan, kerana pencen itu akan bertambah dan akan menjadi beban kepada kerajaan pada masa akan datang.

“Maka, diingatkan kerajaan harus ada persiapan dari sekarang untuk menampung keperluan generasi pada 10 dan 20 tahun akan datang,” ujarnya.

Kata Anwar, dalam perbelanjaan dan pengurusan kerajaan tidak harus pinggirkan nasib rakyat.

Beliau bagaimanapun, menyatakan beberapa peruntukan yang diumumkan Menteri Kewangan itu secara objektifnya memang memenuhi sebahagian daripada tuntutan rakyat. – MalaysiaGazette