Najib Razak

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini, dikejutkan dengan sindiran terhadap kerajaan sebelumnya.

Antara sindiran tajam beliau dalam perbahasan itu ialah gelaran “bapa lockdown Malaysia” yang berpunca daripada pentadbiran sebelum ini melaksanakan lockdown separuh masak.

“Dalam Malaysia pula, lockdown separuh masak antara paling panjang tempohnya dalam dunia yang dilaksanakan oleh “bapa lockdown Malaysia” dari kerajaan dahulu.

“Pelaksanaan PKP ini telah menghancurkan kewangan dan kehidupan orang ramai, tetapi kadar jangkitan serta kematian akibat Covid-19 berbanding saiz penduduk adalah tertinggi di ASEAN dan antara tertinggi di dunia bagi tahun ini.

“Biarpun ada mengaku telah belanja sebanyak RM600 bilion dalam setengah tahun, tetapi kurang memberi manfaat secukupnya kepada kehidupan rakyat.

“Itulah sebabnya kewangan kerajaan Malaysia berada pada keadaan yang kritikal pada hari ini,” katanya dalam sesi perbahasan di Parlimen.

Najib berkata, beliau mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2022 bukan untuk mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya perlu mengakui dan sedar akan kesilapan besar yang telah berlaku dan impak kepada negara serta kewangan kerajaan.

Keadaan itu, tegasnya, menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa meminjam begitu banyak dan menangani defisit yang masih tinggi untuk menyediakan bajet perbelanjaan terbesar dalam sejarah

“Ternyata jelas, matlamat murni Bajet 2022 ini adalah menumpukan kepada golongan terjejas akibat Covid-19, membantu mereka dan perniagaan untuk berdikari semula.

“Selain itu, mewujudkan peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran dan merancakkan pembangunan ekonomi serta negara pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau mengingatkan kerajaan sekarang bahawa kecekapan pelaksanaan adalah penting.

“Sehubungan itu, jangan sekali-kali mengulangi pendekatan sebelum ini apabila ramai yang sepatutnya layak mendapat bantuan, tetapi tiba-tiba dinafikan daripada menerima bantuan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. – MalaysiaGazette