Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyalahkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang bertegas mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi sebahagian anggota gabungan Pakatan Harapan (PH) pada 2016.

Ketika itu, katanya, beliau bersama sahabat yang mewakili PKR dalam Majlis Presiden PH (MPPH) hanya mahu PPBM diterima sebagai sekutu pilihan raya sahaja, bukan anggota PH.

Jelas beliau, tindakan itu diambil kerana tidak mahu segala keputusan PH menjadi kacau-bilau dengan adanya rakan baharu, PPBM.

“Semasa rundingan permohonan PPBM nak masuk PH dulu, saya dan sahabat dalam PKR berkeras supaya PPBM hanya diterima sebagai sekutu pilihan raya, bukannya anggota PH supaya keputusan PH tidak kacau bilau.

“Tetapi, yang berkeras mahukan PPBM sebagai anggota PH adalah pimpinan Amanah dan DAP dengan alasan PKR tidak kuat dan berpecah.

“Perangai (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dijadikan alasan PH perlukan pimpinan baru dari PPBM kerana kononnya kami tidak kuat untuk mendisiplinkan Azmin yang mahu bersama-sama Pas,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Rafizi berkata, pada satu ketika, kata dua diberikan kalau PKR tetap berkeras, wajarlah parti itu tidak lagi bersama PH kerana Amanah dan DAP sudah buat keputusan menerima PPBM.

Ujar bekas Ahli Parlimen Pandan ini, demi mengekalkan PH, mereka akhirnya terpaksa bersetuju dengan syarat ada perjanjian ketat.

“Itulah latar belakang kacau-bilau. Perjanjian ke laut, strategi “lonjakan yang dibawa PPBM” juga ke laut sebab PPBM melonjak katak.

“Sekarang alasan yang sama digunakan pimpinan Amanah, konon (Datuk Seri) Idris Haron dan lain-lain akan bawa lonjakan di Melaka.

“Masalahnya, mereka berkokok dalam mesyuarat PH kerana dalam PH, parti besar mana pun bila menjadi anggota ada undi yang sama. Namun, di luar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab di luar,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya Presiden Amanah dan Pengerusi Amanah Melaka pula cuba meyakinkan pendokong PH di luar ini, bahawa alasan apa kononnya kemasukan empat ADUN yang lompat parti itu akan memberi lonjakan yang boleh memenangkan PH di Melaka.

“Ini hujah kuat berdegar-degar dalam mesyuarat PH, tapi tidak cukup berdegar-degar di luar.

“Kalau saya, kena sekali cukuplah. Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya “kurang cerdik”,” kata beliau.

Empat ‘katak’ yang dimaksudkan Rafizi ialah ADUN BN-Sungai Udang, Idris; ADUN BN-Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN PPBM-Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad; dan ADUN Bebas-Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast