Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak atau parti politik yang melanggar SOP sepanjang kempen Pilihan Raya Negara (PRN) Melaka.

Hal ini ditegaskan Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang bahawa setiap SOP yang ditetapkan kerajaan sudah menjadi dasar yang perlu dipatuhi, tanpa boleh dilonggarkan atas permintaan pihak atau parti politik tertentu.

“Bagi KKM, kita tidak boleh sewenang-wenangnya melonggarkan SOP bagi pihak tertentu dan mengetatkan SOP untuk pihak tertentu.

“Apabila SOP ini sudah menjadi dasar, ia perlu dipatuhi tanpa mengira mana-mana parti politik dan siapa mereka,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gopeng-DAP, Dr. Lee Boon Chye yang mempersoalkan kenapa kerajaan ‘berpatah balik’ walaupun Melaka dalam Fasa 4 Program Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Aaron Ago, KKM tidak akan melayani sebarang permintaan mana-mana pihak yang mempersoalkan SOP ditetapkan sepanjang kempen PRN Melaka.

Mengenai kes kematian murid akibat vaksinasi, belilau menjelaskan, kerajaan amat teliti dalam kes itu dan penilaian terperinci dilakukan agensi KKM bagi memastikan puncanya, sama ada disebabkan vaksinasi atau sebagainya.

“Kita tubuhkan jawatankuasa yang akan memantau dan menilai setiap kes melibatkan kematian dan pampasan akan diberikan sekiranya ia berpunca dari vaksinasi,” katanya.

Beliau menjelaskan, berhubung bentuk pampasan yang diterima penerima vaksin sekiranya terdapat kesan sampingan selepas vaksin, kerajaan pada 17 Mac lalu bersetuju bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 ditetapkan.

Katanya, bantuan itu ialah tidak melebihi RM50,000 bagi warganegara mendapat kesan sampingan yang serius selepas menerima vaksin dan memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

“Serta tidak melebihi RM500,000 bagi bukan warganegara Malaysia yang hilang keupayaan kekal ataupun kematian di bawah program imunisasi ini.

“Kerajaan juga bersetuju bayaran bantuan khas dengan kesan mudarat vaksin dibuat menggunakan peruntukan sedia ada di bawa kumpulan wang amanah bencana negara atau NADMA,” katanya.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) hingga 27 Oktober lalu, sebanyak 900,000 maklumbalas atau 17.5 respon bagi setiap 1,000 dos diterima melalui aplikasi MySejahtera.

Manakala lebih 22,000 laporan kesan sampingan telah diterima melalui sistem pelaporan sedia ada, bersamaan 0.45 laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin

“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,483 laporan dikategorikan sebagai serius iaitu bersamaan 0.03 bagi setiap 1,000 dos yang diberikan.

“Semua kes yang dikategorikan sebagai serius akan disiasat secara menyeluruh dan terperinci oleh KKM dan laporan penyiasatan ini kemudian akan diserahkan kepada satu jawatankuasa yang dibentuk,” katanya. – MalaysiaGazette