Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian meminta kerajaan menerusi tiga kementerian termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU) menjelaskan apakah bentuk jumlah peruntukan dibelanjakan bagi tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Melaka.

Datuk Seri Ahmad Maslan membuat desakan itu selepas mendapati perbelanjaan bagi program bantuan tunai untuk rakyat terutama di Sabah dan Sarawak terlalu besar.

Katanya, kementerian terlibat ialah Kementerian Kewangan termasuk EPU, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya minta semua kementerian ini menyatakan apakah program dan jumlah peruntukan di bawah kementerian dan agensi masing-masing mengikut negeri khasnya Sabah, Sarawak dan Melaka.

“Senaraikan projek pembangunan untuk manfaatkan rakyat mengikut semua kawasan Parlimen,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen hari ini.

Ahmad berkata, bantuan tunai kepada 987,434 rakyat Sarawak melibatkan peruntukan kira-kira RM1.5 bilion, manakala untuk 864,464 rakyat Sabah pula RM1.3 bilion dan RM412 juta di Melaka.

Menurut beliau, jumlah peruntukan itu sangat besar dan rakyat perlu tahu data serta maklumat berkenaan agar semua Parlimen mereka mendapat peruntukan yang lebih adil dan merata.

Katanya, dalam Parlimen Bukit Bintang, Cheras, Seputeh dan Petaling Jaya mendapat peruntukan berbilion ringgit untuk pembangunan MRT, LRT, Jalur Lebar 5G, Lingkaran Lebuh Raya, lampu jalan dan bangunan kerajaan.

“Maka, kawasan lain juga perlu diberikan pembangunan sesuai agar keadilan itu dapat dinikmati seluruh rakyat di semua peringkat Parlimen tanpa mengira kaum, pembangunan merata bagi merapatkan jurang pembangunan,” katanya.

Beliau mencadangkan, bagi mewujudkan kehidupan lebih baik, perlu ada penanda aras (KPI) pembangunan tertentu untuk sesebuah kampung dan desa di luar bandar.

“Contohnya KPI bagi penyelenggaraan parit dan saliran oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebanyak empat bulan sekali bersamaan tiga kali setahun untuk semua parit dan sungai.

“Kedua, KPI memasang lampu jalan dengan jumlah yang mencukupi untuk semua kampung dan data yang ada dengan Tenaga Nasional berhad (TNB) mesti diselaras agar lampu jalan ini diberi dengan adil dan sama banyak.

“Ketiga, KPI membersihkan rumput, semak samun oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk semua jalan kampung dan menurap semula dalam masa tertentu. Jalan pula mesti ada keluasan yang wajib bagi membolehkan kenderaan berselisih, banyak jalan kampung kenderaan tidak boleh selisih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan lima anugerah untuk dijadikan pemangkin gerakan sosial rakyat di setiap Parlimen.

Cadangan anugerah itu ialah Anugerah Belia Cemerlang (ABC), Anugerah Usahawan Cemerlang (AUC), Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC), Anugerah Desa Cemerlang (ADC) dan Anugerah Masjid Cemerlang (AMC).

Namun, sudah menjadi trend Ahmad, ucapannya diserikan dengan pantun empat kerat dan beliau memulakan perbahasan RUU Perbekalan 2022 dengan empat pantun.

“Dalam taman berkarya seni, hidup sihat panjang usia; Hidup aman makmur harmoni, itulah hasrat keluarga Malaysia”.

“Suasana ceria di hari raya, warna biru cantiknya baju; Satu Malaysia keluarga berjaya, masyarakat padu negara maju.

“Satu dua tiga empat, lima enam tujuh lapan; Hidup keluarga jangan merempat, bina impian masa hadapan.

“Dua tiga emat lima, enam tujuh lapan sembilan; Hidup keluarga bekerjasama, bangkit teguh capai wasasan”. – MalaysiaGazette