MELAKA – Polis Melaka membidas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang semalam yang menuduh pihak berkuasa mengamalkan hukuman dua darjat kerana mengenakan kompaun RM10,000 kepada PKR walaupun parti itu mengadakan ceramah tanpa kehadiran orang ramai secara fizikal di Krubong Sabtu lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dakwaan itu sama sekali tidak berasas kerana polis tidak melihat kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta 342 mengikut parti politik.
Menurutnya, tindakan Kit Siang yang cuba memanipulasi polis seolah-olah mengeluarkan ‘kompaun dua darjat’ tidak sepatutnya timbul.
“Jangan kaitkan tindakan penguatkuasaan ini dengan parti, tidak. Kita ini ‘buta warna’, kita tak nampak parti, kita cuma nampak apa kesalahan dilakukan individu bukan atas nama parti.
“Ingin saya jelaskan, apa yang dikatakan (Kit Siang) tiada penonton semasa ceramah (di Krubong) adalah tidak benar, tiada pelanggaran SOP juga tidak benar kerana kita sendiri pergi lapangan dan telah dapatkan bukti-bukti bergambar.
“Jadi saya minta individu dan pihak yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan polis tolong dapatkan penjelasan kita dan bukannya menjadikan media sebagai tempat berdebat,” katanya.
Ahad lalu PKR Melaka mengesahkan menerima kompaun RM10,000 kerana mengadakan acara berkaitan pilihan raya sedangkan mereka mendakwa ceramah bergerak dijalankan tanpa kehadiran orang ramai bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, setiap apa tindakan yang diambil phak polis berlandaskan peraturan dan protokol siasatan terperinci.
“Pihak polis tidak pernah menjalankan tugas dua darjat atau pilih kasih atau siasatan yang berpilih-pilih dalam tugas.
“Tindakan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dengan penuh budi bicara demi kepentingan kesihatan awam kepada seluruh negeri Melaka sebagaimana yang dipertanggungjawabkan kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette