Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan Bajet 2022 lebih menjurus kepada ‘beli jiwa’ kerana tiada penekanan khusus dilakukan bagi menurunkan kadar hutang negara.

Beliau menegaskan, belanjawan itu juga tidak mempunyai pendekatan yang jelas bagi merancakkan ekonomi negara selain dianggap sebagai gagal mengurus tadbir dengan baik wang rakyat.

Beliau memberi contoh, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 pada 2020 hingga 2021 sepatutnya belanjawan negara dapat dijimatkan.

Bagaimanapun, beberapa kementerian diberi peruntukan yang lebih walaupun tidak ada aktiviti dijalankan ketika PKP.

“Sebagai contoh, belanja mengurus untuk Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, sepatutnya peruntukan semakin rendah dari tahun sebelumnya kerana aktiviti pelajaran tidak berjalan seperti biasa.

“Begitu juga dengan perbelanjaan pembangunan memandangkan aktiviti ekonomi tidak berjalan seperti kebiasaannya. Ini sepatutnya berlaku penjimatan daripada belanjawan lepas,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen hari ini.

Oleh itu, ujar Mohd Shafie, penting bagi kerajaan menjelaskan kepada rakyat berapa penjimatan yang telah dibuat untuk tahun 2020 dan 2021 memandangkan ekonomi negara dan kebanyakan sektor sosial tidak dibuka sepenuhnya.

Katanya, sepanjang dua tahun ini kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM580 bilion dalam lapan pakej yang diumumkan.

“Bukan itu saja, tahun 2020 juga kerajaan telah mengumumkan belanjawan negara sebanyak RM314.8 bilion dan Jumaat lalu, jumlah belanjawan adalah RM322.5 bilion dan merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara.

“Mengikut perkiraan, sepanjang 23 bulan pandemik bermula, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.22 trilion wang rakyat untuk berhadapan dengan wabak Covid-19 dan mengharungi kemelesetan ekonomi.

“Ini merupakan belanjawan dan pakej stimulus yang sangat besar bagi tempoh tidak sampai dua tahun dan sudah tentu dengan jumlah sebesar ini rakyat mengharapkan pulangan yang lebih baik kepada negara,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun membuat perbandingan sepanjang tempoh pandemik dunia, dua negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura tidak mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara masing-masing, namun hasilnya tetap jauh lebih baik daripada Malaysia.

Ujar beliau, pada tahun 2020, kerajaan turut mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara, namun sasaran pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KDNK) dengan 6 sehingga 7 peratus, tetapi Kementerian Kewangan gagal mencapai sasaran.

Justeru, beliau minta kerajaan muhasabah diri dan menentukan sama ada semua peruntukan wang rakyat sebanyak RM1.22 trilion itu ditadbir urus dengan baik atau dibelanjakan secara berhemah. – MalaysiaGazette