Tun Dr Mahathir Mohamad during the Dewan Rakyat Sitting special
Tun Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR – Tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan Bajet 2022, walaupun jumlah peruntukannya dianggap terbesar dalam sejarah negara, sekiranya hutang negara bertambah.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, apa yang berlaku hanyalah pertukaran punca hutang sahaja dan mengelabui mata rakyat kononnya bajet itu adalah untuk menangani masalah yang dihadapi rakyat dan negara.

“Saya harap kerajaan akan semak semula Bajet 2022 ini. Kita tidak perlu bangga mengemukakan belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara, lagipun dia besar kerana hutang besar.

“Dan sebahagian daripada wang yang dihutang itu akan diguna untuk membayar hutang, bukan saja oleh kerajaan sekarang, tetapi juga kerajaan akan datang, kerana berhutang untuk bayar hutang tidak akan mengurangkan jumlah hutang.

“Yang berlaku hanyalah pertukaran punca hutang sahaja iaitu dengan membuat peruntukan tambahan sebagai cara menangani masalah, tetapi tidak selalunya mencerminkan kebolehan serta kebijaksanaan para perancang atau keprihatinan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, petang ini.

Dr. Mahathir berkata, salah satu punca jumlah peruntukan menjadi lebih besar ialah kerana rasuah.

Katanya, budaya rasuah sudah kembali dan perbuatan itu akan meningkatkan kos yang akan ditanggung oleh kerajaan.

“Terdapat sejenis rasuah, apabila jawatan yang tidak penting dalam kerajaan dicipta, tetapi diwujudkan juga kerana penerima jawatan ini menyokong kerajaan dan diberi taraf menteri supaya taraf dan pendapatan lebih tinggi.

“Dengan ini, maka bertambahlah bajet dan hutang,” katanya.

Beliau berkata, pelabur tidak memilih Malaysia kerana mereka berdepan pelbagai birokasi seperti menteri dan pegawai kanan tidak boleh ditemui serta masa paling panjang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan.

“Kadang kala ada permohonan pelabur tidak dapat diluluskan kerana mereka tidak hulur sogokan, sebaliknya sudah ada cadangan dari orang-orang politik tertentu,” kata beliau.

Beliau sedar wang yang banyak diperlukan bagi mengatasi krisis dihadapi negara, tetapi kerajaan perlu berhati-hati supaya perbelanjaan dapat dikurangkan dan beban hutang tidak dihempas kepada generasi akan datang.

Katanya, memang mudah untuk mengadakan belanjawan yang disukai ramai dengan bajet menunjuk tambahan peruntukan bagi semua pihak.

“Angka hutang boleh diturun peratusannya dengan menaikkan siling yang dibenar, tetapi jumlah hutang tidak boleh diturunkan. Hutang mesti dibayar, tidak bayar hutang negara akan diisytihar bankrap

“Yang akan pikul beban bayaran balik adalah kerajaan akan datang. Oleh sebab itu, kerajaan sekarang perlu berhati-hati agar tidak membebankan kerajaan akan datang,” katanya.

Mantan Perdana Menteri itu juga mempersoalkan Bajet 2022 tidak menyatakan usaha untuk mengurangkan perbelanjaan.

Katanya, dalam bidang pendidikan, pertanian dan telekomunikasi, perbelanjaan kerajaan boleh dikurangkan dengan menggunakan teknologi baru atau menswastakannya.

“Apa perlunya kerajaan terlibat dalam khidmat ini, tentulah lebih baik diserahkan kepada syarikat telekomunikasi yang sekian lama membekalkan sistem telekomunikasi dalam negara.

“Dengan diserahkan kepada swasta, kerajaan akan selamatkan sejumlah wang yang tidak kecil dalam peruntukan belanjawan, lagipun kerajaan tidak terkenal dengan kecekapan dalam bidang bekalan khidmat seperti ini.

“Jika disemak, kita akan dapati banyak lagi peruntukan dalam belanjawan yang boleh dikurangkan beban hutang negara di masa depan atau boleh menjadi lebih ringan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, selain menyediakan peruntukan yang banyak, Bajet 2022 tidak menjelaskan cara untuk mengatasi krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, sebaliknya menyerahkan kepada pentadbir untuk bertindak.

Sebenarnya, kata Dr. Mahathir, tindakan oleh pentadbir itu kadang-kadang tidak menepati tujuan peruntukan, bahkan besar kemungkinan mereka tidak faham bagaimana peruntukan akan digunakan.

Beliau juga gembira dengan jumlah kes baharu positif Covid-19 sudah turun, tetapi kenapakah satu masa dahulu kes itu naik sehingga mencecah 25,000 kes baharu sehari?

Menurut Dr. Mahathir, Jepun yang mempunyai jumlah penduduk empat kali ganda lebih ramai daripada Malaysia, dapat mengurangkan jumlah kes baru sehingga sekarang hanya 200 kes dengan kematian hanya tujuh orang.

“Jepun juga telah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan menerima berpuluh ribu pelawat, tetapi wabak Covid-19 di negara itu tidak melambung. Ada baiknya jika kita tiru cara Jepun,” katanya. – MalaysiaGazette