KUALA LUMPUR – Sehingga kini lebih 90 peratus pelajar di seluruh negara sudah divaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja).
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, dalam keadaan itu, pihaknya memberi jaminan dan berusaha untuk memastikan sekolah sebagai kawasan selamat untuk dimasuki dan diduduki oleh pelajar sepanjang sesi persekolahan dibuka dalam pandemik Covid-19.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa prihatin untuk melihat pelajar kita sepanjang masa bukan saja mendapat akademik secukupnya, tapi turut mengambil berat soal emosi mereka.
“Kita cuba sedaya upaya untuk memastikan mereka datang ke sekolah dengan baik dan selesa tanpa gangguan esmosi yang keterlaluan kerana mereka perlu berdepan dengan akses pendidikan yang secukupnya.
“KPM faham pasca pandemik ini banyak cabarannya, tetapi kita juga tahun keadaan ini memang di luar dugaan kita,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Kit Siang berhubung lebih 5,000 pelajar di seluruh Malaysia menjadi yatim kerana kematian ibu dan bapa sepanjang pandemik Covid-19.
Menurut Mohamad, yang penting pelajar mendapat pendidikan sebaiknya dengan memastikan mereka dalam keadaan selamat dan pemantauan sentiasa dilakukan terhadap PICK-Remaja.
Mengenai soalan asal dari Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang (PH), beliau berkata, KPM menyedari sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan sepertimana kebiasaan.
Oleh itu, katanya, pihaknya telah membuat ketetapan bagi melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 sehingga Februari 2022.
“Pelanjutan sesi ini bagi membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan serta pengukuhan secara intensif dalam meningkatkan kesediaan pelajar untuk mengikuti tahun persekolahan berikutnya.
“Di samping itu, pelanjutan ini juga membolehkan pelajar tingkatan lima tahun 2021 mendapat peluang dan persediaan secukupnya untuk menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada Mac 2022,” katanya.
Beliau berkata, KPM telah memperhalusi kesesuaian takwim persekolahan 2023 dan seterusnya dengan memulakan sesi persekolahan 2022 pada Mac tahun depan sebagai panduan untuk perancangan pengoperasian sekolah akan datang.
Katanya, kementeriannya komited memastikan pelajar terus mendapatkan akses pendidikan dengan meneliti kesesuaian sesi persekolahan selaras dengan situasi semasa khususnya pasca pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette